Nik Nazmi meninjau tapak projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Taman Siakap di Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM100 juta untuk kerja-kerja kecemasan luar jangka di seluruh negara bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2023/ 2024.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, agihan itu yang dilaksanakan melibatkan skop pemulihan sistem saliran dan perparitan, pemulihan jalan dan jambatan serta memulihkan struktur kawalan banjir di lokasi terlibat.

Jelas beliau, dana itu diagihkan secara tiga fasa dengan jumlah berbeza mengikut keperluan di negeri-negeri berkenaan sebagai usaha kerajaan dalam memastikan masalah banjir dapat ditangani.

“Kita tengok (mengikut) keperluan di setiap negeri, baru-baru ini kita dah turun tengok ke Negeri Sembilan, Selangor dan juga Wilayah dan hari ini Pulau Pinang.

Nik Nazmi.

“Kita akan pergi ke tempat-tempat lain lagi untuk tengok persediaan berdepan dengan banjir ini, jumlah yang kita agihkan berbeza mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Taman Siakap di sini melibatkan peruntukan RM20 juta.

Hadir sama, Ketua Setiausaha NRECC, Dr Ching Thoo Kim dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir Mohd Nazri Yasmin.

Tambah beliau, komponen utama projek RTB itu adalah  kerja menaik taraf dua buah rumah pam, pembinaan ‘flood wall, dan menaik taraf pembentung Lebuh Raya Kurau kepada jambatan serta kerja-kerja berkaitan.

“Projek ini menyediakan tahap perlindungan banjir sehingga 100 ‘Average Recurrence Interval’ (ARI) dan akan memberi manfaat kepada 8,000 orang penduduk di dalam kawasan sub-lembangan tersebut,” katanya.

Untuk rekod, Sarawak menerima jumlah peruntukan tertinggi untuk kerja-kerja kecemasan luar jangka iaitu RM16.5 juta, diikuti Kelantan RM10 juta, Pahang RM9 juta dan Perak RM8.2 juta.

Penyaluran dana itu pada Fasa 1 membabitkan RM50 juta, Fasa 2 (RM30 juta) dan Fasa 3 (RM20 juta) yang selesai disampaikan pada 5 Oktober lalu.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan musim Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 11 November hingga Mac 2024.

Fasa awal MTL yang diramal sehingga Januari 2024 akan menyebabkan hujan lebat berlaku di Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. – MalaysiaGazette