Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melihat plan pembangunan pada sidang media mengenai cadangan pembangunan semula Kampung Baru di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2109

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengemukakan tawaran terakhir kepada pemilik tanah di Kampung Baru sebanyak RM1,000 bagi setiap kaki persegi (kps).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menjelaskan, daripada jumlah RM1,000 itu, RM850/kps akan dibayar melalui empat pilihan iaitu tunai, hartanah, kombinasi aset dan hartanah serta pegangan saham.

Tuan tanah bebas memilih mana-mana pilihan pembayaran tersebut, tambahnya.

Manakala baki RM150/kps pula akan dibayar melalui pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sebagai tambahan, bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam projek pembangunan di Kampung Baru kelak, kerajaan akan memberikan diskaun sebanyak 15 peratus.

“Sebagai contoh, harga rumah berkeluasan 900 kps di Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampung Baru akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 seunit berbanding harga biasa RM300,000 seunit,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Menurut Khalid, kerajaan mengharapkan dapat menerima maklum balas daripada pemilik pada akhir November ini.

Pembayaran pula akan dibuat selewat-lewatnya Jun tahun depan manakala pembangunan bakal dimulakan seawal-awalnya Jun tahun yang sama .

Kerajaan katanya mahu persetujuan daripada semua pemilik tanah di Kampung Baru sebelum memulakan projek berkenaan.

“Jika tujuh daripada 10 orang pemilik tanah bersetuju dengan tawaran ini, saya harap mereka boleh memujuk tiga lagi yang lain.

“Atau kita harap supaya baki tiga pemilik itu tidak menyusahkan semua pihak atau majoriti pemilik tanah yang lain dengan menolak tawaran tersebut,” katanya lagi.

Tegas Khalid, ini merupakan tawaran terakhir dan muktamad yang boleh diberikan oleh kerajaan. -MalaysiaGazette