Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan akan cuba memberikan bantukan inklusif kepada semua jenis sekolah dan institusi berdaftar dan bebas pengaruh politik.

Justeru tindakan mempertikaikan peruntukan RM2 juta kepada ‘Southern University College’ seperti yang dilakukan oleh UMNO dan Pas hanya permainan sentimen prejudis dan sempit, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim.

“Ini sebenarnya bukan lagi isu kerana MOF (Kementerian Kewangan) dan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, telahpun
menjelaskan hal ini berkali-kali bahawa Kerajaan baharu ini akan cuba memberikan bantuan secara inklusif kepada semua jenis sekolah yang berdaftar dan bebas dari pengaruh parti politik, mengikut kemampuan kewangan semasa.

“Jelas sekali, tindakan memilih untuk hanya mempertikaikan peruntukan RM2 juta kepada Southern University College adalah disebabkan oleh permainan sentimen yang prejudis, sempit
dan tidak sihat yang berlawanan dengan dasar pendidikan yang inklusif,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau yakin MCA juga akan mempertikaikan sekiranya kerajaan mengembalikan peruntukan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) selepas parti itu tidak memegang saham dalam institusi tersebut.

Katanya, MCA sebelum ini mendakwa RM2 juta yang diberikan kepada Southern University College itu adalah sedikit.

Untuk rekod, peruntukan kepada KUTAR dikurangkan sebanyak RM24.5 juta dalam Belanjawan 2019 berbanding Belanjawan 2018 untuk memastikan pemisahan parti politik dari pendidikan, dan Menteri Kewangan telah nyatakan bahawa RM24.5 juta itu hanya akan dikembalikan sekiranya institusi ini tidak lagi dimiliki oleh MCA.

“Saya yakin sekiranya peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) milik MCA dikembalikan apabila MCA melepaskan pegangan milik di dalam institusi tersebut, ia juga akan dipertikaikan mengikut permainan sentimen prejudis dan sempit ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette