Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-30 prosiding SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan terdapat tiga pemindahan berjumlah RM42 juta antara Disember 2014 sehingga Februari 2015.

Pemindahan itu dilakukan daripada akuan anak syarikat SRC International iaitu Ihsan Pedana kepada akuan peribadi Ambank Najib dengan jumlah pindahan RM27 juta, RM10 juta dan RM5 juta.

Demikian pendedahan Pengurus Affin Bank cawangan The Curve Petaling Jaya, Norhayati Mohd Yunus hari ini kepada Mahkamah Tinggi ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sulaiman Kho Kheng Fuei.

Kata Norhayati, akaun Ihsan Perdana dengan nombor akhir 1108 pernah melakukan pindahan wang sebanyak RM27 juta ke dalam akaun Ambank Najib dengan nombor akhir 880 pada 26 Disember 2014.

Norhayati kemudian diminta melakukan pengecaman muka Pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman yang sebelum ini disebut olehnya sebagai salah seorang daripada dua penandatangan rasmi Ihsan Perdana bagi pemindahan wang daripada akaun Affin Bank.

Selepas pengecaman itu, Shamsul yang tampil dari bilik saksi kemudian memberikan kad pengenalan beliau kepada hakim sebelum kembali ke tempatnya.

Shamsul sebelum ini pernah ditahan bagi membantu siasatan ke atas syarikat pelaburan 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

SRC International dan Ihsan Perdana terlibat dalam aliran tunai berjumlah AS$11.1 juta (RM42 juta) yang berakhir di akaun persendirian Najib antara Disember 2014 dan Februari tahun ini.

The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini yang memetik dokumen penyiasatan Malaysia melaporkan, aliran itu bermula dengan RM50 juta daripada SRC International, sebelum dipindahkan ke syarikat Gandingan Mentari, dan kemudian ke Ihsan Perdana.

Dari Ihsan Perdana, RM42 juta dikatakan dipindahkan ke dalam akaun milik Najib di AmBank. – MalaysiaGazette