Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkredit RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna bermula Julai ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakin ramai rakyat Malaysia yang memilih menggunakan pembayaran tanpa sentuh sejak menjalani kehidupan norma baharu.

“Untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan ini, melalui Program e-Penjana yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkredit RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

“Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat perkhidmatan e-dompet,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) hari ini.

Inisiatif tersebut katanya, akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, kerajaan akan meneruskan kempen “Buy Malaysia” atau beli barangan tempatan untuk menggalakkan rakyat menyokong produk dan perkhidmatan tempatan.

Jelas Perdana Menteri, antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah menggalakkan rangkaian pasar raya besar untuk membuat penandaan produk tempatan dan juga menubuhkan saluran produk Malaysia yang berdedikasi di platform e-dagang.

Tambah Muhyiddin, kerajaan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memberikan perkhidmatan internet berkapasiti 1 gigabit secara percuma kepada semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman web berkaitan pendidikan dan aplikasi sidang video.

Perkhidmatan internet percuma itu akan disediakan sehingga 31 Disember ini.

“Selain itu, semua pengguna akan dapat mengakses secara percuma tanpa had laman web kerajaan serta aplikasi Covid-19 kerajaan khususnya, mySejahtera,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kerajaan menurut Muhyiddin giat mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Antaranya insentif cukai yang akan dilaksanakan di bawah Penjana adalah mengecualikan cukai pelancongan sepenuhnya selama setahun bermula 1 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2021.

Agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan pula diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang perlu dibayar bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 September 2020 selama tiga bulan.

Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan pelancongan domestik dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Manakala pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.