Logo Bala Mohan

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil maklum isu dibangkitkan pembangkang mengenai apa tindakan diambil kerajaan bagi memulih dan meningkatkan kemudahan beberapa kampung tradisi dalam kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan memberitahu, kementeriannya menerusi DBKL telah menyediakan Pelan Panduan Pembangunan (DGP) Kampung Tradisi Gombak merangkumi enam buah kampung tradisi.

“Kampung Padang Balang dalam kawasan Batu contohnya, adalah salah satu kampung yang telah disenaraikan sebagai kampung tradisi.

“Dalam sesi perjumpaan DBKL dengan penduduk Kampung Balang Padang pada 16 Jun dan 20 Ogos 2014, kita mendapat persetujuan jawatankuasa penduduk untuk pembangunan dan kemudahan infrastruktur di kawasan ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan pembangunan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan kampung tradisi itu juga tertakluk kepada persetujuan penduduk dalam memberi kerjasama berkaitan perihal tanah.

“Bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur kampung tradisi, DBKL mempunyai perancangan dan peruntukan tahunan mengikut peruntukan kampung-kampung tradisi dalam Kuala Lumpur.

“Sebanyak RM600 juta pada tahun 2016 telah diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur di Kampung Padang Balang dan Kampung Chubadak, manakala RM40 juta telah dibelanjakan bagi membaik pulih kemudahan sistem perparitan di Padang Balang pada tahun ini,” jelasnya.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat dan kawasan pembangunan penduduk selaras matlamat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup serta menyejahterakan rakyat khususnya di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette