Kanak-kanak ceria bermain sambil memegang Jalur Gemilang ketika di kawasan perumahan mereka sempena kempen Kibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan yang ke-63 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Kampung Padang, Kampng Baru, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluas perlindungan mySalam ke atas tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung atau prostesis bagi menambah baik program itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain daripada perlindungan kesihatan, kerajaan juga bercadang memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang.

Melaluinya, jelas beliau, setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi 100 ringgit untuk tempoh 5 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul menambah, segmen kesihatan awam lain juga akan diberi tumpuan apabila kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak.

Selain itu katanya, sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis.

“Kerajaan juga memperuntukkan RN25 juta ringgit bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital,” katanya. – MalaysiaGazette