Anggota APMM melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kira-kira RM9,000 kos operasi yang ditanggung Martim Malaysia (APMM) bagi setiap satu kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kos itu membabitkan penggunaan aset pasukan serta tenaga kerja anggota yang dikerahkan bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sekiranya berlaku insiden bunuh diri di jambatan tersebut.

Kata Abd Razak, secara keseluruhan kira-kira RM 227,511 kos yang digunakan bagi 26 CARILAMAT mangsa terjun laut di negeri ini sejak tahun 2020 hingga 21 Mei lalu.

Abd Razak Mohamed

“Ia meliputi kos membabitkan kes terjun feri, Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua).

“Bagaimanapun, bagi tahun 2022 sebanyak lapan operasi pencarian dilakukan pihak APMM membabitkan kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang saja yang menelan kos berjumlah RM70,540,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut Abd Razak memberitahu, walaupun menjadi tanggungjawab pihaknya bersama agensi lain melakukan operasi mencari mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang namun ia menjejaskan operasi di setiap Maritim negeri serta Zon Maritin.

Jelas beliau, ia susulan aset yang sepatutnya beroperasi mengikut jadual ditetapkan Timbalan Pengarah Operasi digunakan untuk operasi mencari mangsa terjun.

APMM berkolaborasi bersama agensi lain dalam operasi mencari mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang

“Kita berdepan kekangan membabitkan aset susulan aset sedia ada lambat untuk diselanggara manakala beberapa aset tidak dioperasikan sementara menunggu kerja penyelenggaraan.

“Selain itu, faktor cuaca yang tidak menentu turut menyebabkan anggota APMM dan agensi yang turut sama dalam operasi terpaksa menamatkan pencarian bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, pihaknya bersama wakil MRSc Langkawi telah membangkitkan isu tangani kes bunuh diri dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak konsesi Jambatan Pertama serta Jambatan Kedua Sdn. Bhd.

“Selain itu, kita turut mengadakan perjumpaan bersama Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan langkah-langkah pencegahan berlakunya insiden sama,” kata Abd Razak.  – MalaysiaGazette