Anggota penguatkuasa merobohkan penempatan yang didirikan secara haram pada Ops Lagong di Hutan Simpan Bukit Lagong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2021.

GOMBAK – Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memusnahkan sebanyak 23 struktur binaan haram termasuk kandang lembu dan kolam ikan menerusi Op Lagong di Hutan Simpan Bukit Lagong hari ini.

Operasi bersepadu itu bermula pada pukul 8 pagi sehingga esok melibatkan keluasan kira-kira 14 hektar.

Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Noor berkata, menerusi operasi tersebut, pihaknya turut mengesan sebuah rumah dua tingkat selain pondok dan rumah kayu serta reban haiwan ternakan yang dibina secara haram.

Timbalan Pengarah (Operasi Hutan) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Noor (kanan) menunjukkan pelan semakan kawasan teroka pada Ops Lagong di Hutan Simpan Bukit Lagong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 SEPTEMBER 2021.

“Kita telah robohkan sebanyak 13 struktur dan empat kolam ikan pada hari ini manakala selebihnya akan dilakukan sehingga esok.

“Ini adalah kawasan teroka haram dan penerokaan yang berlaku di sini sesetengahnya hampir 20 tahun dan ada yang terbaharu kita dapat kesan pada tahun ini dan tahun lalu.

“Aktiviti yang mereka lakukan di sini adalah meneroka hutan dengan menebang pokok untuk mendirikan kebun, menanam pokok durian termasuk mendirikan kediaman seperti pondok kayu dan rumah,” katanya menerusi sidang media di pusat gerakan operasi Hutan Simpan Bukit Lagong hari ini.

Menurut Norddin, secara keseluruhannya, sebanyak sembilan operasi bersepadu telah dijalankan di negeri Selangor pada tahun ini dan Op Lagong merupakan yang pertama bagi zon Gombak.

Selain anggota penguat kuasa JPNS, operasi bersepadu itu turut dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan Tenaga Nasional Berhad.

Anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Selangor memusnahkan penempatan secara haram dalam Operasi Penguatkuasaan Hutan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan di Hutan Simpan Bukit Lagong (OPS LAGONG), Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 28 SEPTEMBER 2021.

Dalam pada itu, Norddin memberi amaran kepada penceroboh supaya menghentikan sebarang aktiviti haram yang dijalankan di kawasan hutan simpan kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

“Bagi penceroboh saya ingatkan bahawa aktiviti ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 dan Seksyen 81 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM100,000 dan penjara enam bulan.

“Kepada individu yang menjalankan aktiviti pencerobohan ini juga saya ingatkan supaya berhenti kerana ia merupakan kawasan hutan simpan yang tidak akan sesekali diberi milik,” tegas beliau.

Bagaimanapun Norddin berkata, setakat ini, JPNS masih belum mempunyai angka tepat mengenai jumlah individu yang menjalankan aktiviti pencerobohan di kawasan berkenaan.

“Kita tidak dapat secara tepat tetapi dianggarkan dalam 50 hingga 60 pemilik atau mungkin lebih, tapi untuk operasi hari ini kita tidak dapat secara red-handed tetapi kalau dapat kita memang akan ambil tindakan.

“Untuk notis pula, kita telah keluarkan sejak lima tahun yang lalu secara berkala dan kita minta mereka untuk keluar dan pindah tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan kita dapati ada unsur-unsur pembukaan kawasan baharu.

“Justeru untuk mencegah daripada aktiviti itu terus berlaku, kita terpaksa jalankan Op Lagong ini untuk tujuan kesedaran,” katanya. – MalaysiaGazette