Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Datuk Seri Amirudin kekal satu penggal lagi tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipercayai melakukan rombakan besar-besaran bagi calon pilihan raya negeri di Selangor.

MalaysiaGazette difahamkan,  DAP akan menggugurkan Edry Faizal di Dusun Tua kerana menyerahkan kerusi kepada UMNO.

PKR pula dijangka menggugurkan beberapa penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Antaranya seperti Halimey Abu Bakar di Seri Setia, Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dan  Syamsul Firdaus (Taman Medan).

Namun tidak dapat dipastikan kenapa ADUN-ADUN yang merupakan penyokong Menteri Besar Selangor ini digugurkan.

Menurut sumber tertinggi PKR, perubahan ini kemungkinan satu taktikal ‘cara halus’ untuk PKR dapat mengawal Amirudin kerana calon-calon baharu dikhabarkan bukan ‘pro’ menteri besar itu.

ADUN Sungai Kandis Zawawi Mughni, Dr Idris Ahmad (Ijok) dan Shatiri Mansor (Kota Damansara) dikatakan bakal digugurkan kerana prestasi, selain kedudukan mereka ditentang oleh jentera sendiri.

Selain itu penyandang Batu Tiga, Rodziah Ismail dikhabarkan tidak bertanding memandangkan beliau kini bergelar Ahli Parlimen Ampang dan akan diletakkan calon baharu.

Ada khabar angin mendakwa anak Anwar, Nurul Izzah kemungkinan menggantikan tempat Rodziah.

“Kehadiran Nurul Izzah di beberapa program sekitar Batu Tiga telah membangkitkan persoalan dalam kalangan PKR. Mungkin juga beliau akan diletakkan oleh Anwar sebagai barisan hadapan Selangor kali ini.

Batu Tiga adalah kawasan yang selamat kerana di bawah Cabang diketuai Rodziah.

“Dikhabar juga akan ada pembaharuan di kerusi Permatang yang penyandangnya, Rozina Zainal Abidin. Beliau berdepan laluan sukar apabila penyokong suaminya sendiri, iaitu Yahya Sahri menolak Rozana bagi mencalonkan bos mereka.  Yahya adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor.

“Antara mereka yang dikatakan mempunyai masalah dan kontroversi tetapi dalam senarai selamat adalah Setiausaha Politik Menteri Besar iaitu Juwairiya Zulkifli yang sebelum ini di Bukit Melawati tetapi tewas sebagai Ketua Cabang Kuala Selangor tahun lalu.

“Cabang yang dipimpin oleh ketua yang baru ini tidak mencalonkan Juwairiya. Mungkin beliau akan ke Lembah Jaya, Sementa atau juga Batu Tiga,” katanya.

Nurul Izzah di Batu Tiga?

Penyandang Kota Anggerik yang baru-baru ini terpalit kontroversi kerana menghina Parti Sosialis Malaysia (PSM), juga berdepan ‘bahaya’ tetapi akan diberi kerusi lain – mungkin di Seri Setia.

Manakala tiga kerusi yang PKR pertanggungjawabkan kepada Penyelaras DUN selepas Sheraton Move terlepas ke tangan UMNO menjadikan Salasiah Desa di Kuang dan dua pegawai rapat Amirudin iaitu Rahim Kasdi di Gombak Setia dan Saifuddin Shafi Muhammad di Batang Kali tidak dicalonkan.

“Seorang lagi Penyelaras DUN PKR iaitu Afrishah Azizi di Sementa digugurkan dan diganti oleh calon baharu yang datang dari luar kawasan.

“Namun dua orang kuat Amirudin iaitu Hee Loy Sian (Timbalan PKR Selangor) di Kajang dan Khairudin Othman (Setiausaha PKR Selangor) di Paya Jaras dijangka selamat biarpun calon baharu kedengaran mula turun padang bertemu jentera dan pengundi.

“Jika Amirudin gagal untuk mempertahankan kedudukan dua ADUN tersebut pada senarai malam ini, defisit kepercayaan ADUN dan penyokong kepada beliau akan terhakis dan merosot. Malam inilah penentunya,” ujar sumber itu.

Dalam pada itu, wartawan MalaysiaGazette juga dimaklumkan dua ADUN PKR yang asalnya menang atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu Mustain Omar di Sabak dan Fakhrulrazi Mohd Mokhtar di Meru akan gugur kerana kerusi diserahkan semula kepada parti tersebut

“Selamat bertempur dan melobi pada saat akhir. Saya juga dimaklumkan ada beberapa nama baharu yang disebut-sebut jadi kita tengok nanti dalam beberapa jam lagi,” jelasnya.

Nama-nama baharu PKR Selangor yang menjadi sebutan ialah seperti Raiyan Rahim, Fahmi Ngah, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet),  Rabiatul Adawiyah, Yew Boon Lye, Thiban Subramaniam, David Cheong Kian Yong, Khairul Anuar Ahmad Zainudin, Amidi Abdul Manan, Muhammad Izuan Kasim, Husain Idris dan Mohd Kamri Kamaruddin. -MalaysiaGazette