Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 07 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan Pas Terengganu berpuashati apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk bayar royalti minyak secara terus kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu akan dibayar sekurang-kurangnya lima peratus royalti minyak dan tarikh pembayarannya akan ditentukan kemudian.

Beliau turut memaklumkan, jumlah yang sama akan turut dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

“Jumlah lima peratus boleh dibincangkan lagi namun yang penting royalti minyak dibayar terus kepada kerajaan negeri.

“Ini kerana sebelum ini pembayaran royalti minyak dibuat kepada agensi persekutuan di negeri.

“Apa pun segala perincian termasuk bila pembayaran dibuat akan ditentukan kemudian,” katanya.

Beliau ditemui pihak media selepas mesyuarat antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ketua Menteri dan Menteri Besar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas pengumuman kerajaan menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada Ahli Parlimen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan RM100,000 kepada Ahli Parlimen Pembangkang, Samsuri menyambut baik keputusan itu.

“Kami menghargai pemberian itu dan berterima kasih kepada kerajaan walapun jumlah tidak sama kerana pemberian tetap pemberian.

“Kami juga menghargai sumbangan kerajaan pusat itu untuk membantu negeri-negeri tanpa mengira parti,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Terengganu akan turut memberi peruntukan kepada wakil rakyat dari Kerajaan Barisan Nasional, Samsuri berkata, pihaknya akan melihatkan dahulu status kewangan negeri sebelum membuat sebarang keputusan.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap ahli Parlimen PH dan RM200,000 untuk pusat khidmat ahli Parlimen berkenaan.

Mahathir berkata, peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang pula hanya RM100,000.

Peruntukan ini akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette