Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap kepada media pada Majlis SUHAKAM Bersama Media di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bebas membuat laporan dan liputan tanpa dikawal oleh kerajaan. 

Perkara yang sama juga kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh dipraktikkan oleh agensi berita nasional, Bernama. 

“RTM adalah agensi  di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia saya rasa itu perkara yang anda semua tahu seperti Bernama.

“Ia terpulang kepada mereka nak laporkan apa, bagaimana bentuk laporan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Gobind terdahulu diminta mengulas mengenai hantaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook tentang panduan liputan RTM bagi negeri pembangkang. 

Dalam panduan yang dilampirkan Najib menunjukkan RTM tidak boleh membuat liputan atau laporan untuk kawasan atau ahli politik yang tidak memihak kepada kerajaan persekutuan. 

Sumbangan atau tajaan daripada kerajaan negeri pembangkang juga tidak dibenarkan, justeru Najib mempertikaikan kebebasan media yang diperjuangkan Pakatan Harapan sebelum ini. 

Namun begitu Gobind enggan mengulas lanjut kerana berkata masih belum melihat hantaran Najib itu secara spesifik.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan penggabungan RTM dan Bernama masih belum dimuktamadkan kerana ada beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan.

“Kita tidak melihat ke arah itu buat masa sekarang tapi bukan ianya off (tidak akan beramu). Kita masih mempertimbangkannya seperti saya cakap kita sedang buat perkara lain dalam RTM dan Bernama biar perkara tertentu  selesai dulu sebelum bertindak selanjutnya,” ujarnya.-MalaysiaGazette