David De Gea.

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho masih mengambil berat tentang nasib bekas kelabnya, Manchester United apabila mengkritik penampilan David De Gea ketika bertemu Chelsea di separuh akhir Piala FA semalam apabila tewas 1-3.

Menurut Mourinho, penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu selama ini bernasib baik kerana dia ditawarkan kelab dengan kontrak yang tinggi.

De Gea, 29, memegang status sebagai penjaga gol dengan gaji termahal di dunia selepas United membayar gaji 375,000  setiap minggu dengan tempoh kontrak 2023.

“Saya tidak melihat dia berdepan tekanan. Siapa yang ingin membayar jumlah ini kepada David? De Gea agak beruntung kerana dia menandatangani kontrak yang luar biasa,” katanya kepada Sky Sports.

“Adakah dia bagus? Ya, dia sangat bagus. David lebih baik ketika berada di garisan gawang daripada harus keluar. Saya rasa dalam gawang, ketangkasan dan tahap teknikal tidak ada bezanya,” ujarnya.

Mourinho turut percaya sekiranya De Gea berpindah atau paling tidak dijual oleh United, bekas pemain Atletico Madrid itu tidak mempunyai banyak pilihan.

Ini kerana kerana kebanyakan gergasi Eropah telah memiliki penjaga gol yang lebih dipercayai.

“Satu atau dua tahun yang lalu, dia diburu oleh seluruh dunia. Pada masa ini, kebanyakan pintu kelab besar telah ditutup. Pintu Real Madrid telah ditutup, mereka tidak lagi memerlukan penjaga gol setelah memiliki Courtois,” kata Mourinho.

Sejak kebelakangan ini, De Gea menjadi sasaran kritikan kerana sering melakukan kesalahan mudah pada perlawanan penting termasuk ketika United bertemu Tottenham pada bulan lalu apabila gagal menepis bola yang menerima kritikan daripada legenda kelab itu, Roy Keane. – MalaysiaGazette