Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah premis yang menawarkan khidmat urut dengan menggunakan pekerja asing digempur polis di Jalan Cahaya 14, Taman Cahaya Ampang Jaya pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, serbuan  sekitar 3.45 petang itu membawa kepada tangkapan tujuh individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan enam wanita warga asing iaitu lima wanita Indonesia dan seorang dari China.

“Lelaki tempatan itu berusia 22 tahun dipercayai sebagai penjaga premis perniagaan itu manakala enam wanita warga asing itu adalah berumur 40 hingga 58 tahun disyaki pekerja tukang urut di premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Azam, hasil serbuan di dalam premis turut membawa kepada rampasan satu anak kunci loker, sebuah botol minyak, dua helai tuala dan wang tunai RM308.

“Kesemua individu itu kini dibenarkan direman oleh Majistret Ampang selama empat hari sehingga 13 September ini untuk siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah dan bekerja tanpa permit yang sah.

Jika disabitkan kesalahan bagi kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, boleh dikenakan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh maksimum setahun atau kedua-duanya bagi tiap seorang yang diambil bekerja.

Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.-MalaysiaGazette