Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Rundingan antara Pas dan UMNO untuk kerusi-kerusi berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 merupakan sebahagian daripada semangat Muafakat Nasional (MN) yang perlu dihidupkan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, bagi menghidupkan demokrasi, persaingan politik yang sihat ‘ala adik beradik’ pula boleh dilangsungkan di kerusi-kerusi yang lazimnya menyaksikan pertembungan antara Pas dan UMNO sahaja seperti di Kelantan, Pahang dan Kedah.

“Ia adil untuk semua. Itu juga sebahagian semangat MN. Semua pilihan-pilihan tersebut telah ada dalam perbincangan MN sebelum ini,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Hari ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mahu mengadakan rundingan dengan UMNO terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifakan kritikal dan boleh dimenangi jika tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti pada PRU-15.

Beliau berkata, kesemua kerusi tersebut adalah kawasan Parlimen yang dimenangi oleh PH dan sekiranya Pas dan UMNO tidak bertembung, 27 kerusi itu akan dimenangi oleh salah sebuah parti sekali gus boleh menewaskan pakatan tersebut.

Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki mengesahkan bahawa rundingan kedua-dua parti di peringkat akar umbi berhubung 27 kerusi terbabit telah selesai dan menunggu tindakan lanjut daripada pucuk pimpinan. – MalaysiaGazette