Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) akan dibawa ke Kabinet untuk mendapat keputusan dasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya ketika ini sedang menyediakan kertas jemaah menteri.

“Insya-Allah memandangkan pertukaran kerajaan ini kita akan cuba menyediakan kertas jemaah menteri untuk dapatkan keputusan dasar.

“Bukan sahaja berkaitan dengan akta bidang kuasa mahkamah syariah (kita) cuba masukkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bersekali.

“Untuk memperkasakan bukan sahaja hukuman tetapi juga kedudukan mahkamah syariah,” kata Dr Mohd Na’im ketika sesi penggulungan jawapan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengenai status RUU berkenaan di bawah pentabiran kerajaan baharu.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuhkan Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah 1965 (RUU355) untuk kemaslahatan umat Islam.

Dr. Mohd. Nai’im menegaskan, akta tersebut sepatutnya sudah dibentangkan untuk pindaan pada persidangan hujung Oktober lalu namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Pada 19 Oktober lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, RUU 355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran Parlimen disebabkan Pilihan Raya Umum-15.

Pas merupakan parti yang memperjuangkan RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama.

Ia juga termasuk penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman serta penyelarasan undang-undang syariah.

Sementara itu, sesi penggulungan menjadi hangat apabila Ahli Parlimen Hulu Langat (PH,) Mohd Sany Hamzan mendakwa terdapat guru Kafa berpolitik di sekolah mempengaruhi anak murid ketika pilihan raya lepas.

Bagaimanapun dakwaan itu dibantah oleh ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa ia sebagai fitnah kepada guru-guru Kafa. – MalaysiaGazette