Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yb Hannah Yeoh berucap pada Pelancaran Insurans Etiqa Pengidap Penyakit Kritikal Dengan Liputan Penyakit Mental Pertama di Malaysia Di Dataran Maybank, Bangsar. foto FAREEZ FADZIL, 20 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Masalah kesihatan tekanan mental berisiko menjadi penyakit kedua terbesar selepas sakit jantung menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, statistik semasa menunjukkan 30 peratus daripada populasi negara mengalami masalah kesihatan tekanan mental dan kebanyakannya berusia remaja berusia 16 tahun.

Statistik itu juga menunjukkan 1 daripada 5 remaja mengalami tekanan mental.

“Jadi kita jangkakan masalah mental 30 peratus itu akan terus naik jika tidak ada intervensi(pencegahan) dan kerajaan telah memulakan usaha memperbanyakan talian tol free memudahkan orang bermasalah tekanan mental boleh merujuk kaunseling.

“Sebagai usaha ke arah itu kita permulaanya telah melancarkan Pusat Kaunseling di PPR DEsa Rejang Setapak Setiawangsa dan sedang menelitinya untuk diperluaskan khidmat berkenaan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas polisi perlindungan insurans pertama untuk penyakit mental iaitu IL CI Plus (Investment Link Critical Illness Plus) oleh Etiqa Insurans.

Sehubungan itu, semua pihak perlu berganding bahu mencari langkah pencegahan yang holistik dan serius untuk mengelak lebih ramai rakyat menjadi mangsa.

Yeoh juga mendedahkan daripada 621 orang penghuni Rumah Seri Kenangan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), didapati 290 di penghuni alami penyakit mental dan dirawat.

“Kita tahu ramai di luar sana ada banyak lagi isu kesihatan mental tapi disebabkan stigma, mereka tidak berani keluar merujuk khidmat kaunseling dan bantuan kesihatan. Saya berharap ahli keluarga jangan rasa takut atau malu sila tampil ke hadapan,,” ujarnya.

Yeoh  juga menjelaskan masalah kesihatan mental bermula daripada kemurungan, kesunyian selepas gaya hidup manusia mula terikat dengan gajet elektronik sehingga malam tanpa interaksi dengan ahli keluarga secara bersemuka.

Menurutnya, selain pakar kaunseling, kerajaan juga sedang menyediakan latihan kepada ketua komuniti seperti ketua rukun tetangga kawasan perumahan dan sebagainya.

“Pakar dan kapasiti khidmat juga kita kena fokus dan bangunkan secara tersusun kerana kami mahu 30 peratus masalah mental tampil untuk rawatan pencegahan,” katanya. – MalaysiaGazette