Seorang bekas pengerusi agensi kerajaan dan seorang bekas ketua pegawai eksekutif agensi kerajaan berjalan keluar selepas direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kontrak Tourism Malaysia bernilai RM90 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 09 JANUARI 2019

PUTRAJAYA- Seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk direman selama empat hari bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa melibatkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta hari ini.

Turut direman seorang wanita iaitu ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Majistret Irza Zulaika Rohanuddin membenarkan kedua-dua individu tersebut direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Januari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lelaki tersebut yang berusia 64 tahun pada kira-kira pukul 5.50 petang.

SPRM turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun pada kira-kira pukul 5.20 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya selepas kedua-duanya datang memberi keterangan.

Sumber yang enggan dikenali berkata, bekas pengerusi agensi kerajaan tersebut disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi Pasaran China bagi tempoh tahun 2018 hingga tahun 2020.

Ia dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta menggunakan peruntukan agensi kerajaan tersebut.

Terdahulu, kedua-dua suspek mereka yang tiba dalam dua kereta berasingan juga menutup muka daripada dirakam jurugambar media pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/09/lelaki-bergelar-datuk-ceo-disiasat-kes-rasuah-rm90-juta/