Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa bergambar kenangan bersama peserta ketika hadir pada Program Eco Alami Ride 2019 di Dataran Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 29 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan cop halal di atas produk mereka tanpa sijil pengiktirafan yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, tindakan boleh diambil di bawah Akta Perihal Dagangan secara bersama di antara Jakim dan KPDNHEP.

“Akta Perihal Dagangan tidak duduk bawah kita, akta ini duduk di bawah KPDNHEP.

“Contoh kononnya dekat tin makanan berasaskan babi itu ditulis halal, itu satu kesalahan kerana dia menggunakan logo kita pada tempat yang salah kerana dia tiada kelayakan untuk memakainya.

“Itu di bawah Akta Perihal Dagangan dan kita akan kuat kuasa, kita boleh ambil tindakan segara dan dakwa dia di mahkamah,” katanya pada sidang media di Karnival Rahmah 2019 di sini, hari ini.

Beliau mengulas cubaan pihak tertentu yang menularkan semula cop halal pada tin makanan berasaskan babi di media sosial, sedangkan ia berlaku pada 2014.

Dalam pada itu, antara usaha pihaknya untuk menangani perkara itu termasuk menyediakan aplikasi telefon pintar ‘Verify Halal’ bagi memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk dengan mengimbas kod produk.

“Kami ada satu aplikasi, iaitu Verify Halal supaya ada mana-mana pihak dia kata dia halal, pengguna nak periksa betul ker dia halal.

“Dia boleh pergi kepada aplikasi kita dan kenal pasti halal dan akan keluar semua produk yang telah kita sahkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette