Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan selepas saluran darah tangan kirinya putus akibat cubaan bunuh diri.

Lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan mengkelar tangan kirinya menggunakan pisau potong roti dalam satu kejadian di rumahnya di Tokong Batu, Jelutong semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.05 malam sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba pihak polis menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan pemeriksaan mendapati lelaki tersebut menetap seorang diri serta tidak bekerja.

“Hasil soal siasat saksi yang juga sepupu kepada mangsa mendakwa kali terakhir melihat mangsa keluar cari makanan pada jam 2 petang.

“Bagaimanapun pada jam 8.45 malam saksi menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah bersandar di dinding rumahnya bersama sebilah pisau bergerigi.

“Siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan merupakan penagih tegar serta mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan doktor mengesahkan keadaannya serius.

“Pihak hospital juga mengesahkan lelaki tersebut perlu menjalani pembedahan kerana saluran darah bahagian tangan kirinya terputus,” ujar Soffian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette