Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon masa untuk menjawab surat tuntutan (LOD) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu menuntut Anwar menarik semula kenyataan fitnah yang dibuat Anwar pada Kongres Nasional Khas PKR dengan mendakwa Dr. Mahathir telah membolot hasil kekayaan untuk diri dan keluarga beliau sepanjang perkhidmatannya.

Anwar sepatutnya menjawab surat tuntutan itu dalam masa tujuh hari bermula 27 Mac lepas.

Difahamkan Anwar melalui Tetuan Thomas Phillip telah menghantar permohonan tuntutan masa tambahan kepada firma Tetuan Law Practice of Rafique yang mewakili Dr. Mahathir.

Kata kenyataan media Law Practice of Rafique, Anwar telah memohon masa sehingga 17 April depan bagi menyediakan jawapan kepada tuntutan Dr. Mahathir.

Kata firma tersebut, anak guamnya  (Dr Mahathir) tidak mempunyai halangan dengan permohonan tersebut.

Pada sidang media 28 Mac lalu Dr Mahathir berkata, walaupun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada beliau.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 MAC 2023.

“Anwar menuduh saya ada berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, saya adalah penyangak dan ini memberi gambaran buruk kepada diri saya. Ini fitnah.

“Melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya dapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak bayar cukai.

“Banyak tuduhan dalam ucapan ini. Jika dahulu dia cakap masa tidak jadi Perdana Menteri tidak apa, tetapi sekarang beliau Perdana Menteri. Jadi, beliau tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti jelas,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette