Pengerusi Pertubuhan Malaysian Crime Watch (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan bercakap kepada media selepas menghadapi pertuduhan membuat penghantaran palsu di Twitter di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan Malaysian Crime Watch (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan menegaskan dua pertuduhan yang dihadapi di mahkamah hari ini tidak akan menghalangnya untuk menyuarakan pendapat selaras dengan hak bersuara pada masa akan datang.

Malah Sanjeevan berkata, beliau akan penggunakan pertuduhan itu sebagai peluang untuk membuktikan dirinya tidak salah.

“Bagi saya menggunakan media sosial menyuarakan pendapat, itu adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan jadi selagi kita tidak melakukan kesalahan saya rasa tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Sanjeevan didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) didakwa dengan sengaja dan sedar dengan berniat menganiaya orang lain selepas membuat penghantaran di Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan pertuduhan, beliau melakukan penghantaran palsu pada 18 Mac dan 16 Mei 2020.

Bagaimanapun, Sanjeevan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Sanjeevan juga yakin tidak akan kalah dalam kedua-dua kes tersebut.

“Saya telah berhadapan dengan banyak kes sebelum ini dan telah menang saya percaya negara ini ada kebebasan bersuara,” tambahnya. – MalaysiaGazette