Seorang wanita berniqab berjalan melintasi kubah hijau yang dibangun di atas makam Nabi Makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2021.

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

SELALUNYA 12 Rabiulawal disambut dengan penuh meriah sebagai tarikh memperingati kelahiran junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW yang disebutkan sebagai maulidurasul atau maulid nabi.

Pelbagai bentuk sambutan diadakan dalam kalangan masyarakat bagi tujuan menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW atas kelahiran baginda SAW ini.

Bahkan, dengan menjadikan tarikh ini sebagai hari cuti juga merupakan salah satu bentuk manifestasi perhargaan dan perhormatan kepada baginda SAW.

Di Malaysia, sambutan maulidurasul merupakan aktiviti tahunan bagi agensi agama termasuk sambutan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi hinggalah sambutan disurau dan masjid.

Pelbagai aktiviti yang berbentuk ceramah agama, kuliah dhuha, majlis selawat perdana, perarakan di kawasan kediaman di samping diadakan jamuan sempena aktiviti tersebut.

Apa yang dilakukan tersebut adalah merupakan antara bentuk manifestasi memperingati kelahiran baginda SAW dan pada masa yang sama menzahirkan kecintaan kepadanya.

Namun perlu diambil perhatian bahawa pada hari ini, ramai yang cuba menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW dengan pelbagai cara dan bentuk.

Ada dalam bentuk perilaku dan tindakan; ada juga dalam bentuk pelbagai dakwaan. Walaupun begitu, apa yang dilakukan dan didakwa tersebut, belum tentu merupakan hakikat sebenar yang difahami daripada ajaran Nabi SAW.

Sebagai contoh, kita pernah dengar tentang dakwaan seorang wanita yang menggunakan nama Sittah Annur di YouTube tentang mimpi beliau bertemu Nabi Muhammad SAW dan pengakuan bahawa beliau adalah ‘pilihan Tuhan’ yang boleh berhubung terus dengan Allah SWT dan para malaikat.

Lalu lahirlah satu ajaran yang dinamakan sebagai “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT)” di mana beliau mendakwa bahawa telah bermimpi diperlihatkan dengan pelbagai macam kejadian di syurga dan neraka serta kejadian akhir zaman yang akan berlaku.

Beliau turut mendakwa bahawa akan meletus Perang Dunia Ketiga yang akan bermula di Sabah dan beliau akan membantu memimpim pasukannya (iaitu para pengikutnya) bagi bergabung dengan Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Dakwaan ini telah dihubungkaitkan dengan Nabi SAW dan adakah boleh untuk kita ikut dan percaya sekalipun nama Nabi SAW digunakan sebagai sandaran?

Bagaimana untuk kita menolak dakwaan ini jika ia tidak benar dan bagaimana untuk mengesahkan sama ada benar ataupun tidak?

Memang menyandarkan hujah kepada Nabi SAW itu adalah sebagai sandaran yang kukuh untuk menegahkan hujah namun perlu untuk menyemak dan menyelidikinya terlebih dahulu kebenarannya.

Semuanya, perlu kepada ilmu dalam bidang yang berkaitan.

Demikian juga dalam soal menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW ini, ada dalam kalangan kita yang terlalu taksub dan bersikap ekstrem dalam mengagungkan orang yang dikaitkan ada hubungan kekeluargaan dengan Nabi SAW atau yang dikatakan sebagai Ahli Bait.

Individu yang diagungkan tersebut diberikan penghormatan atas sebab sulur galur keturunannya yang dikatakan sampai kepada Nabi SAW sehingga banyak kelebihan diberikan dan diraikan dalam banyak majlis.

Persoalannya, adakah perlu untuk kita meraikan susur galur keturunan sahaja tetapi tidak dihiasi majlis dengan ilmu dan pengetahuan yang benar?

Memuliakan Ahli Bait (keluarga Nabi SAW) yang jelas diketahui ada hubungannya dengan Nabi SAW seperti Khadijah dan ‘Aishah sebagai isteri baginda, Fatimah sebagai anak, Ali sebagai menantu dan Hasan serta Husin sebagai cucu baginda tiada sebarang halangan bahkan sangat dituntut.

Namun, jika tidak jelas dan tiada bukti yang benar-benar dapat mengesahkan, perlu atau tidak kita memuliakan dan mengagungkannya?

Hal ini kerana, selayaknya yang dimuliakan hanyalah Nabi SAW dan juga para sahabat baginda kerana mereka dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT pada ayat 100, surah al-Taubah yang bermaksud: “Orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta enyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Ayat ini adalah pujian terbesar daripada Allah SWT kepada para Sahabat Nabi SAW yang awal-awal memeluk Islam dari kalangan golongan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikut mereka. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah.

Jadi, dalam soal ini, yang perlu dimuliakan bukanlah dalam soal keturunan sahaja, tetapi yang lebih utama dan perlu diutamakan adalah para alim ulama dan guru-guru yang memberi kita ilmu pengetahuan termasuk ibu dan bapa kita yang merupakan guru pertama.

Kerana ilmulah kita mengenal Allah SWT dan Rasul-Nya, dan kerana ilmulah kita boleh hidup di dunia ini dengan aman, sejahtera dan rasa selamat. Tiada jaminan keselamatan dan kesejahteraan kerana keturunan.

Demikian juga, ada yang jelas mengaku umat Nabi SAW, tetapi pada masa yang sama mempertikai autoriti dan hujah sunnah baginda SAW.

Dalam erti kata, apabila membaca hadith-hadith baginda, lalu mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dijelaskan oleh hadith itu tidak sesuai pada zaman sekarang ini.

Dunia telah moden, sedangkan hadith Nabi itu adalah khazanah lebih 1,400 tahun yang lepas. Ada juga sebahagian yang mendakwa tidak boleh untuk berpegang dan berhujah kecuali hadith yang mencapai status mutawatir sahaja, dan menolak kehujahan hadith-hadith ahad (yang tidak mencapai tahap mutawatir).

Semua yang disebutkan itu adalah antara bentuk dan contoh dakwaan yang salah dan menyeleweng disebabkan oleh salah faham atau tidak menguasai disiplin ilmu yang sebenar tentang hadith dan sunnah Nabi SAW.

Dakwaan itu datangnya daripada orang-orang Islam sendiri bukan daripada bukan-Muslim. Bagaimana untuk kita mengatakan mereka orang Islam yang cintakan Nabi SAW dan yakin kepada apa yang dibawa oleh baginda melalui al-Quran dan al-Hadith, sedangkan orang Islam sendiri yang mempertikaikannya? Semua ini masih terkait dengan ilmu dan pengetahuan yang masih cetek dan tidak memahami konsep yang sebenar.

Dalam situasi yang lain, ada dalam kalangan kita yang memakai serban dan jubah putih atau memakai seluar di atas buku lali atau ada yang memakai celak di mata, memakai cincin pada anak jari kanan dan semua itu amalan disandarkan kepada amalan sunnah.

Namun apabila melihat kepada sikap dan akhlaknya tidak pula menggambarkan kefahaman dengan akhlak yang diajarkan dalam sunnah Nabi SAW.

Percakapan penuh dengan kata nista dan dusta, hatinya penuh dengan prasangka buruk dan perangainya tidak menghormati orang. Bahkan, waktu yang dijanjikan juga sukar untuk ditepati. Ada juga yang pakaiannya memenuhi kriteria yang dikehendaki sunnah namun solatnya di luar waktu.

Soal ilmu dan kefahaman yang sebenar masih lagi menjadi agenda penting untuk memahamkan umat Islam dengan konsep kecintaan kepada Nabi SAW yang sebenar.

Semua yang disebutkan inilah yang dikatakan bahawa ramai dari kalangan kita umat Islam yang memahami hadith dan sunnah serta menzahirkan kecintaan kepada Nabi SAW secara salah dan tidak benar.

Sehingga apa yang diamalkan dan ditonjolkan itu sebenarnya mencemarkan lagi sunnah dan memburukkan lagi nama Nabi SAW.

Kesannya juga kepada dakwah terhadap orang bukan Islam, kerana tidak boleh menjadi sebab kepada kecenderungan mereka terhadap Islam.

Oleh yang demikian, sempena dengan bulan kelahiran Nabi SAW itu, marilah kita semua umat Islam sama-sama untuk meningkatkan lagi kefahaman kita terhadap ajaran yang dibawa melalui hadis dan sunnah ini.

Giatkanlah usaha untuk menuntut ilmu dan menghadiri halaqah-halaqah ilmu untuk menuntut kefahaman yang sebenar daripada para alim ulama. Janganlah semata-mata bergantung kepada media sosial sahaja, kerana ia lebih kepada ruang untuk hiburan.

Jadilah, seperti para alim ulama terdahulu yang sanggup bermusafir jauh meninggalkan tanah air dan keluarga, hanya kerana menuntut ilmu.

Kerana dengan bersahabat dengan guru dan alim ulamalah yang memberikan lebih kefahaman terhadap ilmu berbanding hanya dengan membaca dan menelaah kitab secara bersendirian.

Ilmu itu perlu didatangi. Semoga kita terus beristiqamah untuk menuntut ilmu sebagai satu wasilah kecintaan kita kepada baginda dan agar kita tidak lagi tergelincir dari jalan yang sebenar. – MalaysiaGazette

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya