Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Panggilan penipuan atau secara dalam talian semakin terjadi-jadi dan hampir semua orang pernah menerima panggilan seumpama, tetapi pernahkah anda memikir bagaimana scammer memperoleh maklumat dan nombor telefon anda?

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, pengaruh scammer telah meresap ke dalam pelbagai industri dengan kemunculan “orang dalam” yang mencuri dan membekalkan maklumat peribadi pelanggan kepada sindiket.

Sindiket antaranya mempunyai “hantu” di bank, institusi kewangan, pelbagai jenis pertubuhan, bahagian pengurusan pangsapuri, kedai peruncitan, syarikat telekomunikasi, malahan agensi kerajaan untuk mengumpul dan mencuri maklumat.

Laporan Kwong Wah Yit Poh turut menyebut  Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat Elektronik atau eCCRIS, CTOS, hasil soal selidik industri makanan dan minuman dan pelbagai kedai lain, serta maklumat pendaftaran untuk kelas dalam talian yang diberikan secara percuma.

Semua maklumat peribadi itu diintai oleh sindiket penipuan yang kini menjadi lebih “profesional” dengan menguasai maklumat peribadi mangsa dahulu sebelum memulakan penipuan.

Selain digunakan oleh scammer, maklumat peribadi itu juga dijual dalam pasaran gelap kepada orang dari sektor insurans, hartanah dan jualan lain.

Malahan, dalam perkhidmatan jualan, penyelia atau pihak atasan juga menggalakkan staf untuk membeli maklumat peribadi dengan harapan boleh meningkatkan jualan masing-masing.

Menurut seorang sumber, urusan jual beli maklumat peribadi berlaku dengan meminimumkan pertemuan untuk mengelakkan risiko dihidu oleh pihak berkuasa.

Selepas pembeli maklumat menjelaskan bayaran, penjual akan menyerahkan maklumat dalam pemacu kilat USB (USB flash drive).

Dengan perkhidmatan kurier yang semakin mudah, urusan penyerahan juga dilakukan melalui tempat pengambilan kendiri (self-collection point) sekali gus membolehkan jual beli berlaku tanpa penjual menunjukkan diri. – MalaysiaGazette