Temubual bersama penduduk, Rusminah Zuru mengenai persiapan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Harian Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

GOMBAK – Lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri cuma kali ini ia cukup berbeza kerana negara masih dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan termasuklah tidak membenarkan rentas negeri, nampaknya menjadi punca Rusminah Zuru, 62, tidak dapat membendung perasaan sedihnya.

Mana tidaknya, jika setiap tahun, anak, menantu dan cucu daripada Melaka dan Sabah akan bersama-sama Rusminah untuk menyambut Aidilfitri di sini namun tahun ini rumahnya akan sunyi.

Yang menemani hanyalah suami dan dua anaknya yang belum berkahwin.

Tahun ini dia tidak akan merasai kemeriahan, riuh rendah rumah dengan anak-anak dan cucu adalah perkara yang paling memberi kesan kepadanya.

Oleh itu beliau tidak terlalu bersemangat dan membuat persiapan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini.

“Mak cik memang tidak ada apa-apa buat tahun ni sebab tidak boleh jumpa anak semua jauh-jauh. Anak-anak pun tidak dapat nak balik. Memanglah sedih nak buat macam mana kan,” katanya sambil menitiskan air mata kerana sebak.

Penduduk, Musrifah Salleh mengenai persiapan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Harian Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Bagi Musrifah Salleh, 60, pula, meskipun keluarganya lengkap tahun ini namun kerana pandemik wabak yang melanda telah mengehadkan pergerakan, termasuklah larangan ziarah membuatkan ibu kepada tiga orang anak itu sama sekali tidak membuat apa-apa persiapan.

Tidak ada sepasang baju raya baru pun ditempah bahkan tidak ada satu jenis biskut raya pun akan terhidang pada hari lebaran nanti.

Katanya, keluar untuk berbelanja pun sudah cukup membimbangkan inikan pula mahu membeli belah baju dan kelengkapan raya.

Musrifah hanya akan menyediakan juadah di pagi raya sahaja.

“Tidak ada persiapan apa pun tahun ini sebab tidak boleh balik kampung, tidak boleh nak berjalan ke mana-mana. Sangat berbeza menjelang Aidilfitri kali ini sebab kita takut nak keluar,” ujarnya yang berasal dari Sungai Besar.

Penduduk, Noor Azmi Mohd
Salleh mengenai persiapan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Harian Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Begitu juga dengan Noor Azmi Mohd Salleh, 38 yang hanya fokus kepada persediaan untuk menyediakan juadah di pagi Aidilfitri nanti.

Mempunyai seorang bayi dan menetap bersama mentuanya, Noor Azmi yang berasal dari Johor ini juga membuat keputusan untuk hanya duduk di rumah tanpa berkunjung ke mana-mana kediaman lagi.

“Untuk kali ini kami buat juga persiapan hari raya sebab saya ada mertua di sini senang sikit cuma tidak dapat balik kampung sahajalah.

“Kita buat ala kadar sahaja beli yang perlu sahaja sebab tidak ada mengunjung ke mana pun,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau menganggap sambutan Aidilfitri tahun ini sebagai suatu yang unik dan perlu dihargai oleh setiap rakyat Malaysia keseluruhannya dan umat Islam khususnya sebagai simbolik pengorbanan untuk bersama-sama berjuang memerangi wabak Covid-19.

Berbeza daripada yang lain, Abdul Rahim Sabran, 40, berkata, persiapan hari rayanya dengan keluarga sudah lengkap.

Temubual bersama pelanggan, Abdul Rahim Sabran mengenai persiapan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Tani Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

Ini kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, beliau telah melengkapkan segala keperluan daripada baju sehinggalah juadah.

“Persiapan macam biasa sama macam tahun sebelum-sebelum ini,” kata beliau.

Abdul Rahim menambah, beliau sekeluarga juga tidak akan menghalang sekiranya ada yang mahu menziarah ke rumahnya pada Aidilfitri nanti namun memastikan SOP dipatuhi khususnya penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Setakat ini, kita kat sini macam biasa kalau tetamu kita tidak boleh nak jangka takkan nak halau pula kan, cuma kalau telampau ramai kita buat SOP penjarakan,” menurut Abdul Rahim. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Syukur lah tu dapat juga beraya dgn keluarga di rumah…lg kesian org bujang yg terpaksa beraya sorang2..nak makam apa pagi raya pun tak tau lg..tak boleh balik kampung jumpa mak bapak…

Comments are closed.