Ayatollah Ali Khamenei. foto Agensi

DUBAI – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, sekatan Amerika Syarikat (AS) telah memaksa negara itu lebih berdikari.

Lantaran itu, beliau menyeru rakyat Iran supaya mengekalkan perpaduan yang dipelihara selama ini.

Beliau berucap secara langsung di stesen televisyen sempena sambutan tahun baru di negara itu.

Hubungan antara Tehran dan Washington telah semakin keruh sejak tahun 2018 ketika Presiden Donald Trump menarik balik Perjanjian Nuklear 2015 dengan enam negara dan kembali mengenakan sekatan sehingga ekonominya lumpuh.

“Iran mendapat manfaat daripada sekatan Amerika. Ia menjadikan kita berdikari dalam semua aspek, “kata Khamenei, yang kelihatan sihat walaupun khabar angin mendakwa beliau dijangkiti dengan koronavirus baru yang telah menyebabkan kematian 1,284 orang rakyat Iran.

Bagaimanapun, dakwaan itu disanggah oleh kerajaan Iran.

Sekatan oleh AS dan kesan ekonomi akibat wabak koronavirus telah memberi kesan mendalam ke atas ekonomi Iran termasuk kemerosotan nilai mata wang rial.

Iran mendakwa sekatan yang dikenakan ke atas negara itu telah menghalang usaha Teheran untuk mengekang penyebaran virus itu di seluruh negara.

Pada 9 Mac, pejabat Khamenei mengumumkan bahawa ucapan tahunannya di bandar Mashhad untuk sambutan tahun baru Parsi telah dibatalkan untuk mengelakkan jangkitan koronavirus di negara itu.

Tehran merekodkan lebih 17,000 orang yang dijangkiti dengan virus itu – tertinggi di Timur Tengah.

”Tahun lalu adalah tahun yang sukar untuk rakyat Iran. Ia adalah tahun yang bermula dengan banjir dan berakhir dengan koronavirus…tetapi kita akan mengatasi segala kesulitan dengan perpaduan, “kata Khamenei. – MalaysiaGazette