PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II gagal melebarkan jurang di persada Liga Premier apabila terikat 2-2 menentang pendatang baharu, Selangor United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, malam tadi.

Pasukan tuan rumah, Selangor United mendapat peluang untuk membuka jaringan menerusi penalti pada minit ke-18 apabila penjaga gol skuad Harimau Selatan, Mohamad Rozaimi Rahamat menjatuhkan Ranggi Oftawan Osman pada situasi satu lawan satu, namun Mohamad Rozaimi berjaya menyelamatkan sepakan Abdul Hadi Yahaya itu.

Tiga minit kemudian, skuad kendalian Ervin Boban itu berjaya membuka jaringan menerusi Mohamed Syamer Kutty Abba, sebelum Selangor United bangkit menyamakan kedudukan menerusi Raslam Khan Abd Rashid pada minit ke-54.

JDT II sekali lagi mendahului menerusi pemain import dari Lebanon, Mohamad Ghaddar yang menanduk masuk sepakan penjuru dari S. Kumaahran pada minit ke-64, bagaimanapun, Raslam Khan sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-81.

Keputusan itu menyaksikan JDT II kekal di tempat teratas dengan 25 mata daripada 12 perlawanan hanya kelebihan dua mata berbanding pasukan tempat kedua, UiTM FC, manakala Selangor United berada di tempat ketujuh dengan 15 mata.

Sementara itu, jaringan tunggal penyerang import dari Brazil, Igor Carneiro Luiz membantu Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Igor yang membuat penampilan pertama buat Negeri Sembilan selepas dibawa masuk pada jendela perpindahan tengah musim, menjaringkan gol itu pada minit ke-30.

Menerusi kemenangan itu, skuad Hobin Jang Hobin berjaya melonjak dua tempat ke kedudukan kelima dengan 16 mata, manakala TFC II kekal di tempat keempat dengan 19 mata. – MalaysiaGazette