Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor hanya membenarkan aktiviti senaman dan riadah dilakukan di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Shari, kegiatan di taman awam seperti Tasik Shah Alam, Tasik Taman Jaya, Tasik Cempaka termasuklah aktiviti mendaki di Bukit Gasing adalah dilarang.

Tambahnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang untuk kegunaan orang awam sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung dan tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup.

“Keputusan ini terpakai di seluruh Selangor kecuali di zon merah iaitu Selayang Baru buat masa ini.

“Manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan MKN yang telah dikeluarkan terdahulu.

“Semua sektor adalah ditegaskan untuk melaksanakan amalan penjagaan kesihatan yang baik seperti pemakaian topeng muka, amalan pencucian tangan yang kerap dan mengelakkan dari menyentuh muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Amiruddin, kerajaan negeri turut memperkenalkan sistem pengesanan kontak (contact tracing) yang komprehensif bagi melengkapi usaha-usaha KKM dan akan diperkenalkan esok.

“Kerajaan negeri menyedari tanggungjawab untuk mengimbangi keperluan ekonomi dan kemaslahatan rakyat. Justeru, langkah bertahap yang dilaksanakan amat perlu sebagai sebahagian dari pendekatan ‘soft landing’ supaya kesan wabak Covid-19 ini dapat ditampan dengan lebih baik,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai sektor pembinaan, Amiruddin berkata, sektor tersebut dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum.

Namun begitu, syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 untuk mendapat kelulusan PBT masing-masing terlebih dahulu.- MalaysiaGazette