Ilustrasi senjata biologi. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ia sukar dilihat dari mata kasar tetapi kesannya mampu meragut nyawa jutaan hidupan termasuk manusia dari muka bumi ini, kata Prof Dr Azmi Hassan bagi menerangkan kesan dan bahaya senjata biologi.

Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu berkata, penggunaan senjata biologi dalam peperangan moden kini dilihat semakin membimbangkan sekiranya terdapat pihak menyalahgunakannya.

“Ia lain daripada senjata konvensional seperti bom, senjata nuklear dan kimia yang memerlukan peralatan tertentu untuk melepaskannya di lokasi yang disasarkan.

“Senjata biologi, tidak memerlukan semua itu. Hanya dengan melepaskan kuman sesebuah negara mampu dilumpuhkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette baru-baru ini.

Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan.

Beliau berkata terdapat negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah dilihat sedang giat membangunkan makmal biologi termasuk di dalam negara bersekutu mereka.

“Peranan asal makmal biologi ini pada asalnya dibangunkan untuk tujuan pertahanan iaitu persediaan untuk menyediakan anti-dot sekiranya senjata biologi menyerang tetapi tidak mustahil peranan makmal ini lebih dari itu.

“Mereka juga boleh mencipta senjata biologi mereka sendiri yang lebih berkuasa,” ujarnya.

Sebelum ini, media antarabangsa malaporkan AS didakwa mempunyai sebanyak 26 makmal biologi di Ukraine dan akan menggunakan serangan senjata biologi pada bila-bila masa terhadap Rusia.

Program biologi ketenteraan yang dibangunkan di Ukraine itu didakwa dibiayai dan dikawal selia sepenuhnya oleh AS.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan penularan hepatitis misteri yang menyerang 35 negara termasuk Britain dan Benua Afrika hingga mengakibatkan lebih 22 kematian kanak-kanak juga berpunca dari kebocoran makmal biologi ini.

Azmi berharap semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan penggunaan senjata biologi dapat dihentikan kerana ancamannya  satu bentuk serangan yang menggugat nyawa dan kesejahteraan manusia. – MalaysiaGazette