LONDON – Krisis meracun seorang bekas pengintip bersama anaknya semakin tegang apabila Perancis, Jerman, Amerika Syarikat bersama-sama United Kingdom mengeluarkan kenyataan bersama menyalahkan kerajaan Rusia di sebalik insiden tersebut.

Keempat-empat negara itu turut menggesa Rusia memberi penjelasan penuh dan lengkap berkaitan program agen sarafnya, Novichok, kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia.

Novichok adalah sejenis agen saraf ciptaan Kesatuan Soviet yang didakwa digunakan untuk ‘menyerang’ Sergei Skripal, 66, serta anaknya, Yulia, 33 di bandar Salisbury pada 4 Mac lalu.

Kelmarin, agensi berita AP melaporkan, Perdana Menteri Britain, Theresa May bertindak mengusir 23 diplomat selain menggantung hubungan peringkat tertinggi dengan Rusia termasuk Piala Dunia.

Perkara itu tercetus selepas beliau mendakwa Moscow bersalah dalam serangan agen saraf ke atas bekas ejen negara itu di sini.

Namun demikian, Moscow menafikan dakwaan bahawa ia bertanggungjawab dalam insiden itu.

Semalam, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di New York, Amerika Syarikat bertindak memihak kepada Britain dengan menolak dakwaan Moscow bahawa mereka tidak terlibat dalam se­rangan ke atas Skripal dan Yulia.

“Kami percaya Rusia bertanggungjawab dalam se­rangan ke atas dua individu terbabit menggunakan agen saraf tentera,” kata Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley dalam mesyu­arat tergempar yang diadakan atas permintaan Britain.

Negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam pada itu turut menyuarakan sokongan ke atas Britain ekoran penggunaan agen saraf yang pertama kali digunakan di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. – Agensi