NEW YORK – Bintang tenis ternama dunia, Serena Williams melahirkan seorang bayi perempuan Jumaat lalu, demikian menurut laporan media Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, masih tiada pengesahan rasmi berhubung kelahiran bayi tersebut dari wakil wanita berusia 36 tahun itu, melainkan ucapan-ucapan tahniah yang diberikan oleh rakan-rakan profesional, celebrity dan peminat ikon sukan tersebut.

Kakaknya, Venus Williams memberitahu, beliau “sangat teruja” apabila diberitahu mengenai berita tersebut selepas menghabiskan pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat di New York, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan berkenaan kelahiran anak saudara terbaharunya itu semasa sidang media selepas perlawanan tersebut.

“Sudah pastinya saya boleh menjawab semua soalan berkenaan tenis. Itu sahaja buat masa sekarang,” kata Venus ringkas.

Serena yang bertunang dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian menerima pelbagai ucapan tahniah daripada bintang-bintang ternama dunia antaranya pemain tenis terkenal, Rafa Nadal dan bintang pop, Beyonce.-MalaysiaGazette