Kejadian buli di MRSM Sultan Azlan Shah menimbulkan kemarahan orang ramai.

SEDARKAH kita isu membuli tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak tetapi juga orang dewasa? Realitinya bagi golongan dewasa yang bekerja, kejadian membuli boleh menghancurkan kerjaya, keluarga dan boleh juga membawa pada kecederaan mental dan jiwa seseorang.

Satu-satu kes buli terjadi, dan yang paling dahsyat hingga melibatkan hilangnya nyawa dan membimbangkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke asrama. Apabila isu ini terjadi, maka ramailah yang akan menuding jari kepada pihak sekolah, terutamanya warden atau guru yang bertugas.
Hakikatnya, isu ini perlu ditangani dengan lebih tegas dan serius agar ia tidak berulang dan berulang lagi setiap tahun.

Bukan perkara biasa!

Namun begitu, apa yang perlu dilihat ialah, apakah faktor yang mendorong seseorang itu menjadi pembuli? Sebagaimana kata Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria: “Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan.

“Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini berbanding wanita.”

Pencegahan awal perlu dilakukan bagi membendung permasalahan ini, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau secara dalam talian.

Peranan ibu bapa

Tidak terkecuali, ibu bapa perlu melaksanakan peranannya dengan memberikan tumpuan dan perhatian kepada perubahan emosi anak-anak mereka.
Selain itu, ibu bapa seharusnya menyediakan ruang yang selamat untuk anak-anak berkongsi selain mengenal pasti individu berisiko untuk terlibat dengan gejala buli agar pencegahan dapat dilakukan.

Apabila di sekolah pula, guru perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Jika berlaku pergaduhan dan pertelingkahan antara murid, ia perlulah ditangani dengan sebaiknya atau libatkan pihak berkuasa agar pelajar ada rasa takut untuk melakukan pembulian tersebut.

Hakikatnya, kes buli sering berlaku antaranya buli mental, buli jiwa, namun masyarakat akan bersuara apabila berlakunya buli fizikal.

Seharusnya masyarakat kita dididik mengenai cara mengelak daripada menjadi mangsa dan pembuli serta perlu juga ada ilmu untuk elak dibuli dengan berani bersuara jika dibuli.

Tindakan tegas

Pihak berkuasa juga perlu melaksanakan tugas mereka dalam membendung isu buli ini daripada berlaku antaranya, menjelaskan hukuman-hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kes buli ini dengan mengadakan kempen secara berterusan.

Selain itu, peranan perlu dimainkan oleh rakan-rakan di persekitaran yang berdekatan dengan mereka yang membuli ini. Mereka perlulah segera bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa agar isu tersebut tidak menjadi kes yang serius.

Masyarakat juga perlu cakna dengan isu ini agar tiada lagi berlaku dalam lingkungan yang mereka tinggal. Kesejahteraan keluarga Malaysia perlulah diutamakan bagi membendung perkara negatif ini. Jika tidak, semua ini akan berterusan tanpa noktah.

Jangan ditangguhkan lagi!

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan secara serius perjawatan warden asrama bagi sekolah berasrama penuh (SBP) dan asrama harian untuk menangani masalah yang sering timbul, termasuk kes buli,” kata Presiden NUTP, Aminuddin Awang, pada Ahad.

Beliau berkata, jawatan baharu seperti warden sepenuh masa di sekolah asrama yang dicadangkan kesatuan itu bukan terhad di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi di bawah bidang kuasa JPA.

Sebagaimana memetik kata mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berpandangan, warden sepatutnya bukan diambil daripada kalangan guru yang sibuk mengajar pada waktu sidang persekolahan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat pada 13 Disember lalu. “Saya menyokong cadangan Kesatuan Perkhidmatan Kebangsaan (NUTP) agar jawatan warden diwujudkan secara khusus dan dilantik kepada perjawatan khas.”

Terdahulu, isu warden ini telah lama ditimbulkan oleh pihak NUTP, namun sehingga kini belum ada keputusan yang konkrit di pihak kerajaan. Apakah kita ingin melihat isu yang terjadi baru-baru ini berulang lagi pada tahun 2022?

Sungguh sadis sekali jika demikian!

 

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia