Lim Swee Kuan
Lim Swee Kuan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan hari ini memohon maaf ekoran kenyataannya terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum ini.

Menurutnya, beliau baru mengetahui bahawa stesen televisyen milik kerajaan itu hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa siaran langsung perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di Seremban baru-baru ini.

“Saya menyokong kebebasan media dan berharap bahawa satu hari RTM dapat benar-benar berubah menjadi stesen penyiaran awam profesional yang berkualiti tinggi.

“Saya menyokong sepenuhnya cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk menubuhkan Majlis Media.

“Ini adalah cara yang betul untuk menilai semula peranan penting media milik kerajaan,” katanya pada akaun Facebook miliknya hari ini.

Swee Kuan sebelum ini mempersoalkan tindakan RTM tidak menyiarkan ucapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada RTM cuba mensabotaj Kerajaan Persekutuan.

Ekoran dakwaan Swee Kuan itu, Gobind telah meminta RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan berkenaan.

Pada Khamis lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memberitahu bahawa RTM telah bertindak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya menyiarkan ucapan perdana menteri secara langsung dalam mana-mana program yang turut dihadiri menteri dan menteri besar. – MalaysiaGazette