Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal didakwa cuba menganaktirikan Sabah ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) sepanjang lima tahun lalu.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun Mohd. Shafie menerima peruntukan besar ketika itu, namun beliau tidak pernah melibatkan kerajaan negeri dalam soal pembangunan.

“Jika benar Mohd. Shafie ikhlas membantu rakyat Sabah sebelum ini, kenapa Kerajaan Sabah tidak pernah dipanggil untuk selesaikan keperluan mendesak bagi manfaat rakyat Sabah itu sendiri.

“Beliau menerima peruntukan hampir RM20 billion namun Shafie telah gagal membantu Sabah menyelesaikan kemudahan infrastruktur yang mendesak termasuk jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mohd. Shafie masih tidak menyedari perilaku dan kesilapannya lalu, malah masih berpura-pura sebagai pejuang sebenar di Sabah semata-mata mahu meraih sokongan parti politik baharunya itu.

“Mohd. Shafie sebenarnya seakan-akan sedang bermimpi dengan menjanjikan bermacam-macam perkara kepada rakyat Sabah sedangkan ianya hanya sekadar angan-angan kosong Shafie sahaja.

“Beliau cuba menonjolkan sifat-sifat baik melalui siri jelajah Warisan di seluruh Sabah untuk mempengaruhi rakyat Sabah untuk mengundi parti beliau, namun rakyat Sabah terlalu cerdik dan cukup matang untuk menilai siapa Shafie sebenarnya,” tegasnya.

Zulkarnain berkata lagi, Mohd. Shafie bukan sahaja tidak pernah bertemu dengan Ketua Menteri Sabah bahkan wakil-wakil rakyat serta pegawai-pegawai daerah pun dipinggirkan untuk menyelesaikan masalah rakyat sebelum ini.

“Pimpinan partinya cuba mempertahankan Shafie kononnya hampir 100 projek telah berjaya dibawa masuk ke Sabah ketika Shafie masih lagi menjadi menteri.

“Namun angka projek tersebut masih terlalu kecil jika dibandingkan tempoh lima tahun Shafie memegang jawatan Menteri KKLW dengan peruntukan hampir RM20 bilion,” ulasnya.

Zulkarnain turut bersedia membawakan beberapa saksi untuk mengukuhkan dakwaannya itu kerana pendedahannya adalah berasas.

“Shafie bebas menjanjikan sehingga mungkin bulan dan bintang kepada seluruh rakyat Sabah kerana ini adalah negara demokrasi namun rakyat pasti akan menghukum Shafie pada PRU-14 akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.