Shuib Sepahtu

KUALA LUMPUR – Ditipu jutaan ringgit oleh seorang yang dipercayai tidak membuatkan pelawak ini jatuh muflis, bahkan Shuib Sepahtu semakin berjaya dalam dunia perniagaan dan mengembangkan sayapnya.

Ramai mengetahui pelawak terkenal ini bukan sahaja memiliki perniagaan madu tetapi sudah membuka kedai minuman ‘bubble’.

Mengimbau kejadian ditipu sehingga mengakibatkan wang syarikatnya diseleweng, Shuib mengakui insiden itu turut berpunca daripada kecuaiannya sendiri yang menaruh kepercayaan kepada orang.

“Secara jujurnya, saya mengendalikan banyak perniagaan dan yang paling meletup tentulah perniagaan berasaskan madu di bawah jenama Bee Factory. Kami bermula sekitar tahun 2017 dan pada tahun pertama, kami berjaya membuat keuntungan sehingga RM8 juta.

“Apabila masuk tahun kedua, saya mula alpa dan leka, hanya memantau perniagaan tersebut dari jauh. Akibat kesilapan dan kealpaan saya, pendapatan syarikat mula turun mendadak sehinggalah saya mendapat tahu wang syarikat diseleweng,” katanya.

Bukan wang sahaja diseleweng, aset syarikat juga diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sehingga pejabatnya kosong.

“Bila saya buka akaun syarikat, saya lihat ada hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, hutang sana sini. Mengenang betapa bestnya saya bermula, saya tak sangka akhirnya saya hadap sendiri dan keadaan sangat teruk.

“Bagaimanapun saya ambil keputusan tidak memanjang hal ini dan anggap segala yang berlaku ada hikmahnya,” ujarnya.

Kegagalan dan dugaan itu ternyata punya hikmah tersendiri apabila Shuib terfikir untuk membuka perniagaan minuman berasaskan madu, Bubble Tea di Menara U2, Shah Alam .

“Saya adalah peminat boba tea dan bagi saya minum itu menjadikan kita ketagih. Jadi saya terfikir untuk melakukan inovasi dengan menggantikan gula kepada madu,” tambahnya.-MalaysiaGazette