SINGAPURA – Singapore Airlines (SIA) Group mengumumkan pembuangan kira-kira 4,300 pekerja pelbagai jawatan selepas syarikat itu terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Para pekerja diberitahu mengenai perkara tersebut menerusi townhall secara maya, semalam.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu memberitahu, selepas mengambil kira pengambilan pekerja baharu telah dibekukan, pesaraan/tamat kontrak dan skim pemberhentian pekerja sukarela, jumlah pekerja yang akan terjejas adalah kira-kira 2,400 di kesemua stesen di Singapura dan luar negara.

“Keputusan ini terpaksa diambil ekoran pemulihan lambat industri penerbangan global disebabkan oleh pandemik Covid-19 serta keperluan mendesak syarikat untuk menghadapi masa hadapan yang tidak menentu.

“Jika dibandingkan dengan kebanyakan syarikat penerbangan utama di dunia, kedudukan SIA Group adalah lebih lemah kerana kita tidak mempunyai pasaran domestik yang mana merupakan pasaran pertama yang akan pulih,” katanya.

Bagi memastikan syarikat dapat bertahan dalam landskap yang tidak menentu ini, SIA akan mengecilkan operasi dalam beberapa tahun ini kerana rangkaian telah dikurangkan berbanding sebelum Covid-19. – Agensi