Sirul Azhar
Sirul Azhar

SYDNEY – Sirul Azhar Umar bakal dihantar pulang ke Malaysia selepas mahkamah menolak rayuannya untuk mendapatkan suaka politik.

Bagaimanpun, penghantaran pulang Sirul akan ditangguhkan sehingga Malaysia memansuhkan hukuman mati.

Sirul adalah salah satu daripada dua bekas pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhkan hukuman mati di Malaysia pada tahun 2015 selepas didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu.

Bekas anggota polis itu kemudian bertindak melarikan diri ke Australia pada tahun 2014 semasa diikat jamin.

Altantuya merupakan seorang penterjemah yang terlibat dalam urus niaga pembelian kapal selam berharga AS$1 bilion antara Malaysia dan Perancis.

Dalam kes itu, Sirul dan rakannya, Azilah Hadri telah menembak Altantuya beberapa kali di kepala berhampiran kawasan hutan di luar Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Mayat penterjemah dari Mongolia itu kemudian diletupkan.

Sirul telah ditahan di pusat tahanan Villawood lebih dari empat tahun.

Sementara itu, ABC News memetik seorang sumber yang memberitahu beliau telah membawa kes Sirul untuk suaka politik kepada Tribunal Rayuan Pentadbiran di Sydney.

“Sirul mahu bebas dan berada dalam komuniti Australia, bebas daripada tahanan supaya dapat meneruskan kehidupan. Sirul memberitahu jenayahnya adalah jenayah politik,” menurut laporan ABC.

Namun, tribunal itu menolak dakwaan Sirul dan rayuan pada hari Isnin, dengan alasan ia bukanlah satu jenayah politik.

Didapati tidak ada cadangan “bahawa pembunuhan arahan kerajaan adalah jenayah politik”, kata ABC. – MalaysiaGazette