Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memotong riben sebagai gimik perasmian sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Zulkapli Mohamed (kiri) pada Majlis Pelancaran Modul Pengajaran dan Pembelajaran Pegurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R Merentas Kurikulum Prasekolah di Kompleks Sekolah Wawasan Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 OGOS 2017

SUBANG JAYA – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meletakkan aspek pendidikan sebagai agenda utama dalam memastikan masa depan negara mengutamakan kebersihan dan alam sekitar yang lestari.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, untuk menjayakan agenda itu kementeriannya mewujudkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pengurusan sisa pepejal yang lestari serta perubahan sikap dan amalan ke arah budaya hidup melestarikan alam sekitar.

Katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan SWCorp termasuk pengasingan sisa pepejal melalui program kesedaran awam dan 3R iaitu mengurangkan, guna semula dan kitar semula (Reduce, Reuse dan Recycle) serta pendidikan dalam bentuk korikulum dan kurikulum di peringkat sekolah.

Di peringkat tadika, kata beliau, telah pun dilaksanakan program bank kitar semula yang dikenali sebagai 3R@kids.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 257 program telah dijalankan dengan lebih 25,000 kilogram sisa kitar semula dikumpul melibatkan nilai RM11,601.24.

“Keseluruhan program 3R@kids ini yang telah dijalankan sejak 2010 ialah sebanyak 1,400 program dengan jumlah berat 503,908.25 kilogram yang bernilai RM172,773.34,” katanya pada majlis pelancaran Modul Pengajaran dan Pembelajaran Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R Merentas Kurikulum Prasekolah 2017 di Kompleks Sekolah Wawasan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali yang juga Timbalan Pengerusi Anggota Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal, Datuk Ahmad Nadzari Dahalan.

Noh hanya hadir kira-kira 10 minit ke program itu untuk melancarkannya, sebelum beliau meminta diri untuk ke Bukit Mahkota, Bangi menziarahi jenazah Allahyarham Datuk Abd. Rahim Ishak iaitu Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, yang meninggal dunia awal pagi tadi selepas mengadu sakit dada.

Menurut Noh, tujuan kementerian itu melancarkan modul berkenaan adalah untuk memupuk kesedaran bagi peringkat murid prasekolah dan tadika.

Ujar beliau, berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Moscow setelah kerajaan menyediakan keperluan asas fisiologi untuk anak-anak iaitu kediaman dan tempat tinggal, penting bagi masyarakat memastikan ia selamat, bersih dan selesa untuk didiami.

“Dua keperluan terendah ini perlu kita sediakan terlebih dahulu agar anak-anak kita dapat membesar dan hidup dalam persekitaran yang kondusif dan optimum untuk tumbesaran dan pembelajaran mereka.

“Kepentingan pengurusan sisa pepejal ini adalah kritikal walaupun di peringkat rumah kita kerana sekiranya sisa pepejal tidak diurus dengan baik akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan dan lebih buruk lagi boleh mengundang penyakit bawaan vektor seperti tikus, nyamuk, lalat dan lipas.

“Amat penting bagi kita menerapkan nilai amalan 3R ini supaya anak-anak turut serta dalam pengurusan sisa pepejal yang mampan agar persekitaran kediaman kita lebih bersih serta amalan 3R menjadi budaya generasi ke generasi,” katanya.

Kata Noh lagi, keterlibatan anak-anak pada usia muda ini memenuhi hieraki keperluan ketiga dan keempat apabila memberikan mereka tanggungjawab dan peranan yang tersendiri dalam komponen keluarga. – MalaysiaGazette