Tsunami Indonesia
Sistem baharu mengesan Tsunami dan tanah runtuh Dasar laut akan dibangunkan Indonesia pada 2019

JAKARTA – Indonesia berkata ia akan membangunkan sistem amaran baharu yang berupaya mengesan tsunami akibat tanah runtuh dasar laut.

Sistem baharu itu dijangkakan dilaksanakan pada 2019.

Letusan gunung berapi Anak Krakatau pada Sabtu lalu mengakibatkan runtuhan tanah dasar laut mencetuskan tsunami yang telah meragut 429 nyawa setakat ini.

Pemasangan pelampung berstruktur baharu akan dimulakan tahun hadapan, kata agensi kerajaan kepada BBC.

Difahamkan bahawa aktiviti gunung berapi itu yang mengeluarkan kepulan abu serta lava mengakibatkan tanah runtuh di dasar laut.

Seramai 150 orang dilaporkan masih hilang dalam bencana itu dan 16,000 orang telah dipindahkan.

Anggota penyelamat Indonesia dibantu dengan peralatan berat memasuki setiap perkampungan dan mengalihkan runtuhan bangunan untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa yang masih tertimbus di kawasan yang terjejas teruk di Pulau Sumatera dan Jawa.

Mekanisme baharu akan membolehkan mengesan saiz ombak yang akan melanda darat, kata Jurucakap Agensi Penilaian dan Pelaksanaan Teknologi, Iyan Turyana.

Teknologi sedia ada gagal untuk meramal tsunami yang telah memusnahkan bandar bandar pesisiran pantai di Selat Sunda antara Pulau Sumatera dan Jawa.

Sistem itu diwujudkan hanya untuk memantau gempa bumi tetapi bukan tanah runtuh dasar laut dan letusan gunung berapi yang juga boleh menghasilkan ombak maut.

Ekoran kekurangan dana serta vandalisme terhadap pelampung dan kesilapan teknikal, tiada sebarang amaran tsunami beroperai sejak 2012.

Bagaimanapun pakar di Indonesia berkata, sekiranya terdapat pelampung berhampiran gunung berapi, masa amaran sangat minimum.- MalaysiaGazette