Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat buku Dasar Keusawanan Nasional (DKN) 2030 diiringi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (kiri) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Hatta Md Ramli (kanan) semasa pelancarannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan negara boleh dirombak sekiranya terdapat keperluan untuk memasukkan elemen keusahawanan bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran permintaan pekerjaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, terdapat beberapa inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan berhubung perkara berkenaan sebelum ini dan disebabkan itu tidak perlu dilakukan rombakan besar di dalam sistem pendidikan pada masa ini.

“Latihan kepada usahawan-usahawan ini memang diminta dan dituntut. Kita punya pasaran melalui sistem pendidikan tetapi hari ini Tun (Dr. Mahathir Mohamad) pun sudah jawab benda tu semua sudah diletak pada tempatnya.

“Cuma kita nak juruskan supaya usahawan yang lahir daripada sistem ini baik dari sekolah menengah, baik di TVET, di universiti melahirkan pelajar-pelajar yang berminat kepada keusahawanan bukan hanya berminat mencari pekerjaaan.

“Sebagai contoh kita ada program protege sangat-sangat sesuai untuk melahirkan usahawan berbanding mencari pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di KLCC hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof.

Sementara itu, Mohd. Redzuan ketika berucap dalam majlis berkenaan berkata, DKN 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri hari ini merupakan polisi yang menyediakan ekosistem milik dan hak rakyat sepenuhnya.

Katanya, pelaksanaan DKN 2030 dianggap sebagai iltizam dan keberanian politik serta menjadi aspirasi kerajaan untuk mengasaskan kejayaan masa hadapan negara.

Jelas beliau, Kementerian Pembangunan Usahawan mengambil peranan sebagai peneraju dasar berkenaan sekali gus mencapai matlamat Malaysia sebagai ‘Negara Keusawanan Unggul 2030’. – MalaysiaGazette