Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Dewan Negeri (DUN) Selangor diberitahu sistem rangkaian 5G masih tidak dapat dilaksanakan lagi sehingga kini berikutan masalah yang dihadapi peringkat pelaksana iaitu Digital Nasional Berhad (DNB).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir. Izham Hashim berkata, sistem 4G yang ada sekarang selepas kerajaan memansuhkan 3G tidak dapat menampung jumlah keperluan.

“Kita hadapi masalah yang besar selepas sistem 3G ditamatkan, ia menyebabkan tekanan yang berat kepada sistem 4G sedangkan sekarang sepatutnya rakyat sudah menikmati kemudahan sistem 5G.

“Tetapi kita dimaklumkan sistem 5G menghadapi masalah pelaksanaan dan strukturnya dan terpaksa menggunakan sistem 4G.

“Sebab itu kita dapati sekarang panggilan kita sering terputus, kemudian kualiti panggilan pun tiba-tiba bunyi macam suara ‘hantu’ pun ada. Malah, macam-macam berlaku kerana tekanan berat ke atas sistem 4G selepas 3G dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan) di Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022 di sini hari ini.

Menurut Izham, beliau telah berbincang dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN) baru-baru ini bagi memaklumkan kemajuan 5G agak lewat.

Katanya, dalam mesyuarat itu beliau telah membentangkan isu berkaitan dengan pembangunan yang turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelaraskan supaya sistem komunikasi 5G berjalan lebih baik.

Mengenai soalan tambahan Lau Weng San (PH-Banting), mengapa daripada 1,553 stesen pemancar yang disasarkan, tidak ada satu pun dibina di Kuala Langat, Izham berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan semua perancangan berkaitan sistem 5G adalah kendalian DNB bawah Kementerian Kewangan.

“Mereka akan menilai perancangan mereka sendiri namun kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) sentiasa memantau dan melihat supaya isu kesenjangan digital dapat terus dipertingkatkan.

“Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan beri jaminan kepada ADUN Banting bahawa kawasan tidak diabaikan oleh kerajaan malah akan terus melaksanakan projek pembangunan di situ memandangkan bakal menjadi salah satu pusat ekonomi terbesar akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette.