Suspek utama warga Nigeria bagi kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin dibawa masuk ke mahkamah bagi mendapatkan tempoh reman di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2019.

CYBERJAYA – Seorang pengawal keselamatan di kondominium Third Avenue menyifatkan Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamarudin sebagai seorang yang peramah dan sering memberinya makanan segera.

Menurut lelaki berusia 47 tahun itu, hampir setiap hari dia melihat Ketua Jururawat Hospital Serdang itu keluar dan masuk ke kondominium berkenaan sehinggalah kira-kira seminggu lalu apabila Siti Kharina tidak lagi kelihatan.

Beliau yang baru setahun bekerja di kondominium itu berkata, Allahyarham sering melalui pos kawalan di hadapan kondominium untuk memasuki kediaman itu.

Malah mangsa bermurah hati memberikan makanan segera kepadanya menyebabkan dia  secara tidak langsung mengenali mangsa.

“Memang hari-hari dia (Siti Kharina) keluar masuk kawasan ini. Setahu saya dia tinggal seorang diri sebab suami dan anaknya ada di Negeri Sembilan.

“Selalu dia akan ikut laluan sini sahaja bila keluar, dah lama tak nampak dia keluar. Sejak itu dah tak nampak dia.

“Kelmarin baru tahu yang mati itu adalah dia,” tambah lelaki itu yang enggan dikenali.

Ditanya sama ada dia pernah melihat suspek lelaki Nigeria di kondominium tersebut, pengawal keselamatan itu mengakui pernah melihat Siti Kharina bersama lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah bertanya apa-apa dan menganggap perkara tersebut sebagai urusan peribadi mangsa.

“Itu peribadi, saya tidak boleh campur. Memang saya nampak, saya tahu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Siti Kharina yang ditemui mati dengan kesan kelar di leher itu didapati menyewa kondominium ini selain dipercayai tinggal di Kuarters Kakitangan Hospital Serdang.

Awal hari ini, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang dipercayai suspek utama pembunuhan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam polis telah menahan reman dua rakan suspek iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan yang membawa kepada penahanan suspek.

Mayat Siti Khairina ditemui polis dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala selepas pemilik rumah sewa berkenaan melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu. -MalaysiaGazette