Foto Facebook Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Dua artis terkemuka negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search menyerikan Himpunan Madani di Dataran Stargate, Alor Star, Kedah malam tadi.

Menerusi Instagram miliknya, Siti Nurhaliza membuat persembahan dengan menyanyikan lagu Warisan.

Selain persembahan artis, orang ramai yang hadir turut memenangi cabutan bertuah yang disediakan dengan antara hadiahnya adalah lima buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Wave.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan Kerajaan Perpaduan lain.

Anwar turut melancarkan bas dan trak perrpaduan bagi menggerakkan inisiatif Malaysia Madani pada majlis itu.

Foto Facebook Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, pengarah jawatan kuasa induk program tersebut, Datuk Zamri Yusuf memberitahu, Himpunan Madani diadakan bagi memberi penerangan jelas kepada orang ramai mengenai konsep madani selain terdapat sesi pidato daripada beberapa pihak mewakili suara anak muda, wanita, pesawah, petani dan nelayan.

Program juga diserikan dengan sesi munajat selepas solat Maghrib diikuti sesi pidato daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisann peringkat negeri termasuk sesi pidato pimpinan peringkat nasional termasuk perdana menteri.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, majlis itu dibiayai sepenuhnya oleh PH negeri.

Mengenai program cabutan bertuah semasa himpunan itu yang menawarkan lima motosikal, Mahfuz berkata, hadiah berkenaan disumbangkan oleh para penyokong parti. – MalaysiaGazette