Skuad APEC 2020
Cabaran Formula Satu (F1) jadi tarikan utama dalam Siri jelajah skuad Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di Kuantan City Mall, Pahang, Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Menjelang sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah sepanjang tahun sehingga kemuncaknya pada akhir tahun ini, pelbagai mesyuarat penting dan jelajah Skuad APEC yang telah dirangka ke seluruh negara.

Walaupun negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), APEC 2020 dijangka diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penambahbaikan sesi mesyuarat bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Skuad APEC 2020 mula menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula dengan universiti-universiti di serata bandaraya Kuala Lumpur, Selangor dan kini telah tiba ke pantai timur.

Tujuan utama siri jelajah ini adalah untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan orang awam mengenai peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada sidang kemuncak itu.

Terbaru, skuad APEC 2020 telah turun ke kompleks beli-belah Kuantan City Mall, Pahang dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik orang ramai.

Cabaran simulator Formula Satu (F1) menjadi tarikan utama dalam siri jelajah ke Kuantan, Pahang itu di samping permainan digital roda impian serta Permainan Kuiz Kahoot yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa untuk pengunjung.

APEC turut disokong tiga rakan rasminya iaitu Celcom, Proton dan Grab.

APEC 2020 yang melibatkan 21 negara, adalah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat dalam kalangan negara Asia Pasifik.

Ia juga bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan, inklusif, kelestarian, inovatif dan jaminan pertumbuhan termasuk meningkatkan lagi integrasi ekonomi serantau.

Skuad APEC telah meneruskan siri jelajahnya ke negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan.

Malaysia telah menerima kehadiran ribuan delegasi melibatkan jangkaan melebihi 120 mesyuarat yang dijadualkan sepanjang 2020.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada 1998 dan kini menjadi tuan rumah buat kali yang kedua – MalaysiaGazette