Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – SME Corporation Malaysia (SME Corp) komited untuk memastikan kecemerlangan jenama Malaysia menerusi program pensijilan National Mark of Malaysian Brand (NMMB).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy dalam kenyataan hari ini berkata berikutan pembukaan semula Malaysia sepenuhnya menjelang suku ketiga, usaha pemulihan ekonomi juga mula mencatatkan penambahbaikan selepas merosot selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata walaupun sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah terkesan dengan pelbagai sekatan pergerakan, sektor itu juga mula mempamerkan isyarat yang menggalakkan.

Bagaimanapun, sentimen perniagaan kekal tidak memberangsangkan berikutan beberapa faktor seperti inflasi, gangguan rantaian bekalan serta konflik Rusia-Ukraine.

Katanya, dalam situasi tidak menentu sedemikian, terdapat keperluan untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan PKS di negara ini kekal berdaya saing dengan memenuhi piawaian kualiti tertinggi dalam bidang masing-masing.

“Melalui NMMB, diharapkan, persepsi negatif mengenai kualiti produk dan perkhidmatan PKS akan berakhir,” katanya.

Program pensijilan NMMB yang diperkenalkan SME Corp sejak 2009 menyaksikan 182 peserta industri telah menerima pengiktirafan di atas komitmen mereka terhadap kualiti. Ini membolehkan mereka untuk meningkatkan jangkauan pasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Rizal menambah, penjenamaan merupakan komponen utama bagi sesuatu syarikat, produk dan perkhidmatan serta memberikan satu identiti. Ia merupakan simbol yang boleh dilihat oleh pelanggan, pengguna dan rakan perniagaan.

“SME Corp menyedari kepentingannya. Sehubungan itu, pelaksanaan (program) NMMB yang berterusan akan melengkapkan usaha PKS untuk mencapai pasaran di luar jangkauan,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak PKS akan mengambil inisiatif tersebut untuk mendapat pengiktirafan memandangkan langkah itu akan membantu mereka untuk menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

NMMB dilaksanakan dengan rakan kongsi strategik SME Corp, SIRIM QAS International Sdn Bhd. Semua permohonan akan dinilai, diaudit dan dipantau bagi memastikan pemohon mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh SIRIM QAS.

Pemohon yang berjaya akan dibenarkan untuk mempamerkan lambang NMMB pada produk mereka untuk tempoh dua tahun.

Program pensijilan tersebut turut memberi peluang kepada PKS untuk menikmati akses kepada insentif kewangan, keutamaan bagi tawaran menyertai aktiviti promosi di dalam dan luar negara serta menyertai pelbagai kursus dan bengkel anjuran SMECorp.

Pada tahun ini, SME Corp dan SIRIM QAS akan turut menjalankan program bantuan dan bengkel yang menumpukan kepada penjenamaan dan tanda dagangan untuk membantu PKS membangunkan dan meningkatkan kualiti dan penjenamaan masing-masing.

— BERNAMA