Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 14 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus menafikan dakwaan bahawa beliau menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundi dirinya pada pemilihan parti pada 18 Mac lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan Lembaga Disiplin UMNO menerima aduan palsu daripada individu tertentu yang sengaja memfitnahnya selepas berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

“Perkara itu bersifat fitnah semata-mata oleh pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kemenangan saya. Dalam pemilihan lepas, saya dicabar oleh Dr Mohd Khir Toyo dan saya memperolehi kemenangan dengan majoriti lebih 100 undi.

“Mungkin disebabkan itu (kemenangan), ada dalam kalangan mereka tidak berpuas hati dan mengatakan saya telah pun merasuah perwakilan.

“Walau bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lebih lanjut sehingga saya dipanggil pada Rabu ini (12 April 2023) pukul 12.00 tengah hari oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Saya Insya-Allah akan membuat kenyataan media setelah saya menghadiri pendengaran daripada fitnah dan tuduhan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Jamal dipercayai akan dipanggil hadir bagi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun bertarikh 7 April 2023, Jamal dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum di bawah Fasal 20.9.

Menurut surat itu, Jamal pada 17 Mac 2023, kira-kira jam 6.15 petang telah melakukan perbuatan rasuah dan sogokan politik dengan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada penama (12 perwakilan) dari Cawangan UMNO Parit Sungai Haji Dorani, Parit 3 Jalan Lama, Sungai Limau, Simpang Tiga Loji dan Pekan Pasir Panjang.

Dalam surat tersebut juga, perwakilan yang diberikan sogokan itu diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

Dalam pada itu, Jamal tidak menolak kemungkinan aduan berbentuk fitnah kepada Lembaga Disiplin itu didalangi pencabarnya, Mohd Khir dan ini bukan kali pertama perbuatan itu dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor itu.

“Saya memang syak seseorang dan sebelum pemilihan UMNO, Khir Toyo seringkali membuat kenyataan dengan memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan dalam media secara langsung.

“Malah beliau telah pun didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dan dijatuhi hukuman dengan diberikan amaran dengan perbuatannya itu.

“Saya tidak mahu menuduh beliau, tetapi dari apa yang berlaku, ada kemungkinan beliau (pelaku) atau mungkin ada kaitan dengan beliau apabila saya dipanggil oleh Lembaga Disiplin diberikan tunjuk sebab kononnya merasuah 12 perwakilan,” katanya.

Jamal turut mengesahkan beliau menerima surat Lembaga Disiplin UMNO dan menjelaskan bahawa tuduhan itu melibatkan 11 perwakilan sahaja.

“Kalau dilihat daripada surat yang diberikan kepada saya itu, bukannya 12 orang tapi hanya 11 orang sebab ada satu nama itu dua kali dicatatkan namanya.

“Ini (tuduhan) adalah bermotif politik yang tidak baik dan tidak sihat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kena dah batang hidung Welanon
    nafi nafi nafi
    siap sumpah mengundi tu… Welanon KURAP percaya ke?
    dibenak otak Welanon ni biasanya hanya percaya PAS sahaja ada rasuah-rasuah dan sumpah-sumpah ni untuk ngundi kan kan kan
    Jamal Tongkol ada berguru ke???

Comments are closed.