Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan seorang saksi kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor yang mengatakan beliau telah meminta habuan sebanyak RM60 juta daripada syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Dengan itu, beliau kini sedang mendapatkan nasihat guaman bagi mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi nama dan kepentingan beliau.

Mahdzir yang terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Rayyan Radzwill Abdullah itu telah membuat penafian kepada tuduhan-tuduhan berkenaan ketika beliau sendiri menjadi saksi dan memberi keterangan kepada mahkamah sebelum ini.

“Saya tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana saya tidak tahu apa dikatakan oleh saudara Rayyan di mahkamah dan saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.

“Walaupun begitu, saya sarankan kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

“Saya yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul, berkenaan apa jua keterangan yang di berikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan.

“Semua pihak, termasuk saya sendiri hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului mahkamah dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rayyan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Mahdzir telah meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan pada 2016.- MalaysiaGazette