Dr. Zulkifli Mohamad
Dr. Zulkifli Mohamad

KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau diri Jumaat di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara khususnya, diseru menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat hari ini.

Solat jenazah ghaib itu diadakan untuk semua 50 mangsa tragedi tembakan pengganas yang berlaku di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Turut terkorban seorang rakyat Malaysia, Allahyarham Mohd Haziq, 17, manakala bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, cedera parah dan dirawat di hospital di negara itu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad ketika membuat seruan itu berkata, solat dan doa itu agar roh mangsa yang terkorban dalam tragedi itu dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama para syuhada.

“Pencarian yang akhirnya menemui jawapan. Berehatlah dengan tenang, anakanda Haziq. Umat Islam seluruh dunia mendoakanmu.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohd Haziq atas pemergian insan yang tercinta,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Beliau menjelaskan, pemergian (terkorban) di hari Jumaat yang mulia (15 Mac lalu), dalam masjid dan dalam keadaan bersedia untuk menunaikan ibadah, insha-Allah dikurniakan dengan ganjaran yang besar.

Kami mendoakan semoga beliau mendapat syahid di sisi Allah,” katanya.

Difahamkan, hari ini semua masjid dan surau diri Jumaat di Wilayah Persekutuan akan menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat. – MalaysiaGazette