KANGAR – Solat sunat Aidilfitri di seluruh Perlis tahun ini digalakkan dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang diselaraskan pada 8 pagi seperti pelaksanaan pada tahun sebelum ini.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh Perlis.

“Bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Kariah Masjid boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.

“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, dalam keadaan cuaca tidak sesuai, pelaksanaan solat Aidilfitri akan dilaksanakan dalam ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

Titah baginda, memandangkan terdapat peningkatan jumlah kes COVID-19 seperti yang dilaporkan oleh media, jemaah digalakkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri.

Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau, namun sekiranya keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, solat akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.

“Pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat bersamaan 21 April, jemaah yang hadir solat Aidilfitri boleh memilih untuk menunaikan solat Jumaat atau solat zuhur berdasarkan riwayat yang sahih daripada salaf al-saleh,” titah baginda. – Bernama