Datuk Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abd. Aziz Kaprawi menyeru kepada semua umat Islam di negara ini agar bersama-sama bersolidariti membantah cadangan Amerika Syarikat yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai  ibu negara Israel.

Menurut Aziz, seruan itu bukan sahaja melibatkan soal agama Islam sebaliknya ia juga menyentuh soal kemanusiaan berikutan penindasan terhadap Palestin sejak sekian lama.

“Dalam soal Palestin ini, kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri amat konsisten menentang segala bentuk penindasan, kekejaman dan kezaliman terhadap sesiapa sahaja.

“Ini telah dibuktikan beberapa tahun dahulu yang mana beliau merupakan antara pemimpin Islam di seluruh dunia menjejakkan kaki bersama isteri dan anak beliau ke wilayah bergolak Gaza tanda sokongan terbuka terhadap Palestin.”

Tambah Aziz, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa peka dengan rintihan mangsa-mangsa penindasan seluruh dunia termasuk mengangkat suara Rohingya kepada pemimpin-pemimpin dunia.

“Sebelum ini, suara rintihan warga Rohingya telah beliau sampaikan kepada pemimpin dunia yang lain dan kesedaran mengenai kesengsaraan mereka telah meningkat sehingga banyak negara mendesak supaya Myanmar menghentikan penindasan mereka dan menerima semula rakyatnya sendiri.

“Saya yakin walaupun negara kita kecil dan bukannya sebuah negara berasaskan ketenteraan, namun pengaruh yang dibawa oleh Malaysia adalah sangat besar dan bantahan terbuka ini nescaya didengari oleh dunia lebih-lebih lagi apabila negara kita melalui Dato’ Sri Najib Razak antara yang pertama memberi respon terhadap cadangan AS tersebut,” tambahnya.-MalaysiaGazette